TLDM selamatkan mangsa terkandas di Pulau Perak, Pulau Jarak

SHAH ALAM - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan 28 individu masing-masing terperangkap di Pulau Jarak, Perak akibat tanah runtuh dan bot karam di Pulau Perak, Kedah baru-baru ini.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam kenyataan berkata, hujan lebat dan cuaca buruk yang melanda negara sejak beberapa hari kebelakangan ini turut memberi kesan kepada beberapa lokasi di perbatasan perairan negara.
Menurutnya, fenomena cuaca ekstrem itu telah menyebabkan insiden tanah runtuh di pelbagai lokasi di Pulau Jarak sekali gus menimbulkan risiko kepada keselamatan anggota bertugas dan warga awam yang berada di pulau tersebut.

"TLDM telah menerima laporan mengenai sembilan orang awam yang sedang melaksanakan kerja penyelenggaraan suar telah terkandas di pulau tersebut pada Selasa.
"Susulan itu, sebuah helikopter Super Lynx telah diatur gerak bagi melaksanakan pemindahan dari lokasi yang dinilai tidak lagi selamat diduduki sebelum tindakan pantas serta koordinasi rapi, kesemua mangsa terkandas telah berjaya diselamatkan," katanya pada Khamis.
Tambah kenyataan itu, dalam insiden berasingan di perairan Pulau Perak, Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11 pagi selepas menerima laporan sebuah bot karam akibat cuaca buruk.

Katanya, KD LEDANG telah diaturgerakkan ke kawasan pencarian untuk melaksanakan operasi secara berterusan.
"Hasil tindakan efektif di lapangan, 19 mangsa berjaya ditemui pada jam 10.15 malam semalam (Rabu) termasuk seorang mangsa yang disahkan meninggal dunia.
"Mangsa yang selamat diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan kapal sebelum dibawa ke daratan untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Ujarnya, TLDM menasihatkan agar komuniti maritim lebih berhati-hati apabila keluar ke laut khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini.
"Kapal yang digunakan juga hendaklah berada dalam keadaan baik dan mampu beroperasi sesuai dengan keadaan perairan Selat Melaka yang agak bergelora," katanya.
Jelas kenyataan itu, demi keselamatan orang ramai dinasihatkan mematuhi amaran cuaca dan mendapatkan maklumat awal daripada pihak berkuasa sebelum keluar ke laut.
Ringkasan AI
- TLDM menyelamatkan 28 individu di Pulau Jarak dan Pulau Perak
- Cuaca buruk dan hujan lebat sebabkan tanah runtuh dan bot karam
- Sembilan orang terkandas di Pulau Jarak diselamatkan menggunakan helikopter Super Lynx
- 19 mangsa termasuk seorang yang meninggal dunia ditemui di perairan Pulau Perak
- TLDM nasihat komuniti maritim berhati-hati dalam cuaca tidak menentu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
