Karangkraf terbitkan 130 buku baharu tahun depan

Firdaus (tengah) bersama peminat buku pada majlis Karangkraf Book Tea Party pada Sabtu.
Firdaus (tengah) bersama peminat buku pada majlis Karangkraf Book Tea Party pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 130 judul buku baharu akan diterbitkan tahun hadapan merangkumi pelbagai genre termasuk novel, buku Islamik, koleksi umum dan kanak-kanak, khusus bagi memenuhi minat pelbagai lapisan pembaca.

Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, usaha itu bertujuan memperkenalkan barisan terbitan baharu yang lebih segar dan selari dengan kehendak pembaca masa kini.

Ujar beliau, pengenalan produk untuk tahun hadapan itu diumumkan kepada pempengaruh dan pengulas buku terlebih dahulu sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan yang diberikan terhadap karya terbitan Karangkraf.

“Kita mengundang seramai 100 pempengaruh dan pengulas buku yang selama ini aktif mempromosikan naskhah Karangkraf.

“Usaha ini bagi meraikan peranan mereka yang banyak menyokong dan mengulas buku-buku terbitan kami, sekali gus memperkenalkan koleksi baharu yang akan diterbitkan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Karangkraf Book Tea Party yang turut ditaja oleh Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) di Dewan Karangkraf, Shah Alam pada Sabtu.

Menurutnya, penganjuran majlis Grup Buku Karangkraf buat julung kali itu turut membuka ruang kerjasama lebih erat dengan komuniti buku pada tahun hadapan.

“Objektif utama adalah untuk menghargai semua pengulas buku yang telah membuat ulasan tentang karya kami. Yang kedua, untuk meneruskan lagi kerjasama pada tahun akan datang.

“Saya juga ada umumkan beberapa perancangan untuk tahun hadapan termasuk penerbitan lebih banyak komik di bawah Komikraf,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut mendedahkan perancangan menganjurkan Festival Novel Malaysia 2026 yang dijangka berlangsung pada Ogos atau September tahun depan.

Katanya, festival selama tiga hari itu bakal menampilkan pelbagai aktiviti seperti bengkel dan konferens penulisan, sesi bersama penulis serta jualan buku.

“Kami juga bercadang menjemput syarikat produksi untuk memberi peluang kepada penulis menyampaikan idea karya mereka kepada stesen televisyen,” kata beliau.

Ringkasan AI

  • Karangkraf akan menerbitkan 130 judul buku baharu tahun hadapan merangkumi pelbagai genre
  • Usaha terbitan baharu bertujuan untuk memenuhi minat pembaca masa kini
  • Pengenalan produk baharu diumumkan kepada pempengaruh dan pengulas buku sebagai tanda penghargaan
  • Majlis Karangkraf Book Tea Party diadakan sebagai platform kerjasama dengan komuniti buku
  • Karangkraf merancang menganjurkan Festival Novel Malaysia 2026 dengan aktiviti bengkel, konferens, dan sesi bersama penulis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!