Amaran hujan berterusan di beberapa negeri ditamatkan - MetMalaysia

Amaran hujan berterusan di beberapa negeri ditamatkan.
Amaran hujan berterusan di beberapa negeri ditamatkan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada yang dikeluarkan di beberapa negeri pada 4.30 petang pada Jumaat ditamatkan pada Sabtu, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Penamatan itu melibatkan amaran hujan tahap bahaya di beberapa kawasan di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman manakala tahap buruk di Besut, Setiu, Kuala Nerus serta Hulu Terengganu.

Amaran hujan berterusan tahap buruk yang turut dikeluarkan bagi Pahang (Jerantut dan Kuantan) juga ditamatkan.

Selain itu, penamatan membabitkan amaran tahap waspada di Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Bera dan Pekan) dan Negeri Sembilan (Jelebu).

Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia Datuk Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan berasingan berkata, berdasarkan analisis model-model cuaca, keadaan dijangka bertambah baik dan tiada potensi hujan berterusan di Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Mohd Hisham berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca atau menerusi platform media sosial jabatan itu, selain menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan. - Bernama 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada di beberapa negeri ditamatkan pada Sabtu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia
  • Penamatan amaran melibatkan tahap bahaya di beberapa kawasan di Terengganu dan tahap buruk di Pahang
  • Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan beberapa kawasan di Perak serta Pahang turut melihat penamatan amaran tahap waspada
  • Berdasarkan analisis model cuaca, keadaan dijangka bertambah baik tanpa potensi hujan berterusan di negeri-negeri terlibat
  • Informasi cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca atau platform media sosial jabatan tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!