Banjir Hatyai: 36 pelajar, pensyarah UUM terkandas berjaya diselamatkan

KUALA LUMPUR - Kesemua 36 pelajar bersama dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas susulan banjir di Hatyai, Thailand, berjaya diselamatkan hari ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, kesemua mereka akan dibawa ke penempatan sementara sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan UUM atas koordinasi yang amat berkesan dalam memastikan operasi menyelamat ini dapat dijayakan dengan selamat dan teratur.
"Semoga urusan seterusnya dipermudahkan. Insya-ALLAH,” katanya.
Kesemua pelajar dan pensyarah terlibat adalah daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang terkandas sejak 22 November lepas, ketika menyertai Program Pertukaran Budaya Thai-MYS 2025.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini berkata, lebih 700 rakyat Malaysia berjaya dipindahkan dari Hat Yai ke Bukit Kayu Hitam, Kedah susulan banjir melanda selatan Thailand, termasuk mereka yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS), menurut laporan Konsulat Jeneral Malaysia di negara itu semalam.
Beliau berkata operasi pemindahan itu dapat digerakkan berikutan penurunan paras air selepas hujan lebat reda pada petang semalam, sekali gus membolehkan pasukan Malaysia dan Thailand mengakses lebih banyak lokasi yang sebelum ini terputus hubungan.

Sementara itu, Kementerian Luar mempergiat operasi pemindahan rakyat Malaysia yang terjejas banjir di Hatyai, dengan lebih 700 orang dibawa ke Bukit Kayu Hitam (BKH) pada Rabu selepas keadaan cuaca bertambah baik.
Kementerian dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan paras air mula surut dengan ketara sejak malam semalam, sekali gus membolehkan operasi pemindahan dilakukan dengan lebih lancar.
"Operasi menyelamat yang diselaras Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla berjaya memindahkan 517 rakyat Malaysia dari 22 hotel dan inap desa ke pusat perlindungan sementara bagi persiapan pemindahan keluar.
"Selain itu, 27 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dan dua pensyarah telah melintasi sempadan di Betong/Pengkalan Hulu,” menurut kenyataan itu.
Kementerian memaklumkan operasi pemindahan dibantu Tentera Diraja Thailand, Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS), Sikh United serta pelbagai kumpulan sukarelawan lain, termasuk penyediaan sekurang-kurangnya 18 perjalanan bas untuk membawa rakyat Malaysia keluar dari kawasan terjejas.
Kementerian menganggarkan kurang 1,000 rakyat Malaysia masih berada di Hatyai ketika ini dan operasi pemindahan akan diteruskan sehingga semua yang terkesan dapat dibantu dengan selamat.
Rakyat Malaysia yang berada di Hatyai diminta segera mendaftar dan memberi maklumat lokasi yang tepat, termasuk koordinat GPS bagi memudahkan operasi menyelamat secara bersasar.
Ahli keluarga di Malaysia yang percaya saudara mereka mungkin masih terkandas di Hatyai diminta segera menghubungi Bilik Gerakan, terutama dalam kes melibatkan warga emas, pesakit atau individu yang mungkin menghadapi masalah komunikasi.
Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi bilik gerakan Kementerian Luar di Putrajaya melalui talian +603-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.
Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok boleh dihubungi di talian +66-87-028-4659 atau +66-2340-5721, atau melalui e-mel mwbangkok@kln.gov.my.
Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla boleh dihubungi di talian +(6674) 316274 atau +(6681) 9901930, serta talian tambahan +(6674) 324004 dan 312353 atau melalui e-mel di mwsongkhla@kln.gov.my.
Kementerian berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan dan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa. - Bernama
Ringkasan AI
- Pelajar dan pensyarah UUM terkandas di Hatyai diselamatkan
- Mereka akan dibawa ke penempatan sementara sebelum pulang ke Malaysia
- Operasi penyelamatan disokong oleh Kementerian Luar Negeri dan pihak berkuasa Malaysia dan Thailand
- Terlibat dalam Program Pertukaran Budaya Thai-MYS 2025
- Lebih 700 rakyat Malaysia dipindahkan dari Hat Yai ke Bukit Kayu Hitam susulan banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
