Pengasas eHati, suami masih di negara sama - Polis

SHAH ALAM - Polis Selangor percaya pengasas program motivasi kontroversi eHati dan suaminya masih berada di sebuah negara yang sama selepas menghilangkan diri Oktober lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini kedua-dua individu itu masih belum dijumpai dan usaha mengesannya masih diteruskan.
"Kedua-dua negara (negara terbabit dan Malaysia) saling membantu bagi mengesan individu terbabit.
"Dia masih di negara terbabit dan buat masa ini belum 'red flag' kerana sedang bekerjasama dengan negara terbabit dan kita tahu mereka ke negara mana dan tidak kemana pun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program 'Immediate Reform Kempen Antibuli; Dari Rumah Ke Sekolah, Ibu Bapa Asas Benteng Pencegahan' di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis.

Tambahnya, polis Selangor juga sentiasa berkolaborasi dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung kes ini.
"Kami memang berhubung dengan JAIS melalui mesyuarat berkala dan perkara ada dibincangkan dan memang ada kolaborasi antara satu sama lain," jelasnya.
14 November lalu, polis Selangor mengesahkan pasangan terbabit yang dikehendaki selepas waran tangkap dikeluarkan oleh mahkamah dilaporkan berada di sebuah negara di Asia Tenggara.
Hasil semakan mendapati, kedua-dua mereka melarikan diri menggunakan laluan sah pada 13 Oktober lalu iaitu sehari sebelum pertuduhan itu.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, polis menerima laporan berkaitan program motivasi rumah tangga didakwa songsang dan terpesong berlangsung pada bulan September tahun lalu di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam.
Berikutan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama JAIS bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong itu.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah itu diambil agar maklumat diperoleh dengan jelas sebelum sebarang tindakan wajar diambil, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Ringkasan AI
- Polis Selangor percaya pengasas program motivasi kontroversi eHati dan suaminya masih berada di sebuah negara yang sama selepas menghilangkan diri Oktober lalu
- Setakat ini, kedua-dua individu itu masih belum dijumpai dan usaha mengesannya masih diteruskan
- Kedua-dua negara saling membantu bagi mengesan individu terbabit
- Polis Selangor berkolaborasi dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung kes ini
- Pasangan terbabit dikehendaki selepas waran tangkap dikeluarkan dan dilaporkan berada di sebuah negara di Asia Tenggara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
