Takaful Malaysia catat keuntungan RM468 juta

SYARIKAT Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatat prestasi stabil bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025 apabila keuntungan sebelum zakat dan cukai meningkat kepada RM468 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Azman Zainal berkata, kenaikan itu bersamaan peningkatan 8 peratus berbanding RM435.2 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.
“Prestasi ini disokong oleh pengembangan perniagaan yang berterusan sekali gus meningkatkan pendapatan takaful kepada RM2.75 bilion, naik RM86.1 juta berbanding RM2.66 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
“Prestasi sembilan bulan kami menunjukkan Takaful Malaysia terus menerajui industri dengan kekuatan dan disiplin apabila pendapatan, keuntungan sebelum zakat serta cukai mencatatkan pertumbuhan berdaya tahan walaupun berdepan pasaran mencabar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, keputusan kewangan sembilan bulan yang stabil itu mencerminkan ketahanan dan pencapaian strategik segmen perniagaan utama kumpulan dalam bancatakaful, perbendaharaan, faedah pekerja dan takaful am.
“Momentum ini mencerminkan keteguhan strategi kami, kualiti portfolio dan fokus berterusan terhadap kecemerlangan operasi.
“Pertumbuhan juga disokong oleh permintaan berterusan, peningkatan kesedaran terhadap perlindungan kewangan selain penggunaan penyelesaian digital yang semakin meluas,” jelasnya.

Nor Azman berkongsi, kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 18.5 sen sesaham biasa berjumlah RM161.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
“Peningkatan 8.8 peratus berbanding 17 sen tahun sebelumnya menunjukkan kedudukan kewangan kumpulan yang kukuh.
“Ia turut mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memberikan pulangan mampan kepada para pemegang saham,” katanya.
Selain itu, Nor Azman berkata, Takaful Malaysia telah melengkapkan terbitan sulung Sukuk Subordinat Tahap Kedua berjumlah RM500 juta, satu pencapaian penting dalam memperkukuh struktur modal kumpulan.
“Sukuk itu diterbitkan di bawah Program Sukuk Subordinat Tahap Kedua bernilai RM1 bilion dan diiktiraf sebagai modal Tahap Kedua menurut Rangka Kerja Modal Berasaskan Risiko Bank Negara Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukan modal kumpulan.
“Ia diterbitkan pada 29 September 2025 dengan kadar keuntungan 3.83 peratus setahun dan menerima penarafan penarafan kredit tinggi (AA3) daripada RAM Rating Services Berhad,” kata beliau.
Menurutnya, proses pembinaan buku turut menunjukkan permintaan kukuh dengan pesanan melebihi RM2 bilion.
“Ia merupakan lebihan langganan lebih empat kali ganda daripada lebih 20 pelabur institusi dan pengurus aset. Ini mencerminkan keyakinan pasaran terhadap kekuatan kewangan kumpulan,” ujarnya.
Nor Azman berkata, Takaful Malaysia akan terus menumpukan inovasi berteraskan pelanggan, pemantapan keupayaan digital, integrasi aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Platform digital Kaotim juga menunjukkan perkembangan positif dengan memperluaskan capaian melalui penawaran perlindungan dalam talian yang mudah diakses.
“Ini mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam pasaran runcit selain melengkapkan kekuatan bankatakaful,” katanya.
Nor Azman berpandangan, prestasi stabil itu mencerminkan keberkesanan pelaksanaan strategi Takaful Malaysia.
“Kumpulan kekal komited menjana nilai mampan, mencapai kecemerlangan pelanggan dan memperkukuh kedudukan dalam industri takaful serta insurans.
“Berasaskan kekuatan perniagaan teras kami, kumpulan berada pada kedudukan kukuh untuk mengharungi baki tahun ini dengan tangkas dan yakin sekali gus menjana nilai jangka panjang yang mampan kepada pihak berkepentingan,” katanya.
Ringkasan AI
- Takaful Malaysia mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM468 juta dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025
- Prestasi itu menunjukkan peningkatan pendapatan takaful kepada RM2.75 bilion
- Peningkatan keuntungan dan pendapatan mencerminkan kestabilan dalam menghadapi pasaran mencabar
- Takaful Malaysia mengisytiharkan dividen interim sebanyak 18.5 sen sesaham berjumlah RM161.4 juta
- Syarikat telah melengkapkan terbitan sulung Sukuk Subordinat Tahap Kedua berjumlah RM500 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
