29 pegawai AKPS ditangkap dalam tempoh 9 bulan, disyaki terlibat rasuah

SHAH ALAM – Seramai 29 pegawai dan kakitangan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, termasuk aktiviti 'counter setting' bagi tempoh Januari hingga September 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gejala yang melibatkan pegawai di pintu masuk negara itu merupakan isu serius yang mendapat perhatian penuh kerajaan.
Menurutnya, selain tindakan undang-undang melalui pendakwaan di mahkamah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut memberi tumpuan kepada pendekatan teknologi yang menekankan kaedah automasi dan saringan pintar.
“Ia bagi mengurangkan intervensi manusia dalam proses kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk negara.
“Pembangunan teknologi kawalan dan pemeriksaan ini dilaksanakan selari dengan tindakan hukuman dan pencegahan seperti tindakan tatatertib, kawalan dalaman termasuk semakan perisytiharan harta yang lebih teliti, pemantauan gaya hidup pegawai serta pelaksanaan program pengukuhan integriti.
“Melalui kombinasi pendekatan ini, kerajaan yakin gejala rasuah di pintu masuk negara dapat ditangani secara lebih berkesan, sekali gus memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung jumlah tangkapan pegawai dan kakitangan AKPS yang terbabit dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa termasuk “counter setting” dari Januari hingga September 2025, serta langkah konkrit dan pendekatan kerajaan dalam menangani isu berkenaan.
Tambah Saifuddin, antara pembangunan teknologi yang telah dan sedang dilaksanakan KDN termasuklah pelaksanaan Sistem Pemeriksaan Penumpang Awal (APSS) yang berfungsi menyaring maklumat pelawat dari syarikat penerbangan seawal 72 jam sebelum waktu pelepasan.
Beliau memaklumkan bahawa bagi memastikan ketepatan dan keberkesanan saringan, KDN juga akan membangunkan Risk Assessment Engine (RAE) sebagai salah satu komponen dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang dipacu oleh teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin (Machine Learning).
“Seterusnya, KDN akan memperkenalkan Foreign Digital Identity (FDID) bagi mewujudkan identiti digital tunggal untuk setiap pelawat asing, yang akan disepadukan dengan sistem biometrik berpusat merangkumi tiga ciri utama iaitu cap jari, imbasan iris, dan pengecaman wajah.
“Keempat, KDN akan memperluas penggunaan mesin autogate sebagai benteng utama menentang amalan counter setting. Bagi pelepasan masuk, mesin autogate kini dibuka kepada pelawat dari 63 negara serta pemegang pas jangka panjang.
“Akhir sekali, KDN akan memperkukuh pengawasan bagi kaunter manual,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Seramai 29 pegawai dan kakitangan AKPS ditangkap atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dari Januari hingga September
- Menteri Dalam Negeri menekankan perlunya tindakan hukum dan pendekatan teknologi untuk mengurangi rasuah
- Pengembangan teknologi seperti Sistem Pemeriksaan Penumpang Awal dan Risk Assessment Engine dipacu oleh Kecerdasan Buatan untuk menapis maklumat pelawat
- Pengenalan Foreign Digital Identity untuk mencipta identiti digital tunggal bagi pelawat asing
- Penggunaan mesin autogate diperluas sebagai benteng utama melawan praktik counter setting dan pengawasan kaunter manual diperketat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

