Cabaran 'Orang Tua' di ABC

Bersama Addanan, 'bodyguard' penulis di ABC dan sebelum itu di Lembah Langtang.
Bersama Addanan, 'bodyguard' penulis di ABC dan sebelum itu di Lembah Langtang.
A
A
A

PADA 29 September 2025, sebuah akhbar tempatan membawakan berita 'Dua anak Malaysia cipta sejarah di Banjaran Himalaya'.

Berita melaporkan Michael Chong, 45, berjaya menakluki puncak Gunung Manaslu selain kejayaan saya menamatkan pendakian hingga ke Annapurna Base Camp (ABC) pada usia 71 tahun.

Michael Chong adalah anak Malaysia keempat berjaya menawan gunung itu. Dua rakyat Malaysia pertama berbuat demikian ialah Khafik al Kicok dan RJ Nagarajan, diikuti Su Chung dari Sarawak kemudiannya.

Indahnya gunung ganang.
Indahnya gunung ganang.

Khafik juga telah mendaki gunung kedua tertinggi di dunia, K2 pada 2023, menjadikan beliau rakyat Malaysia kedua menjejak puncak gunung dianggap paling berbahaya di dunia bagi pendaki.

Tentulah tidak adil untuk menyamakan kejayaan saya dengan Michael Chong. Ketinggian Manaslu ialah 8,163 meter dari aras laut, menjadikan gunung kelapan tertinggi di dunia, dua kali ganda dari ABC.

Manaslu menuntut pendakian teknikal luar biasa, juga dengan kedudukan oksigen yang hanya satu pertiga daripada yang terdapat di paras laut.

Artikel Berkaitan:

Penulis bersama Firdaus di jambatan gantung Jhindu Danda.
Penulis bersama Firdaus di jambatan gantung Jhindu Danda.

Mungkin usia menyebabkan kejayaan saya itu mendapat perhatian. Besar kemungkinan saya salah seorang pendaki paling tua sampai di ABC pada musim pendakian kali ini.

Mungkin juga kerana pada usia 70-an, saya dilihat masih punya stamina, tenaga dan kekuatan merentasi hutan dan denai, juga menongkah ribuan anak tangga buatan manusia selain batu licin dan ancaman pacat.

Mungkin juga atas alasan itu, pemilik salah sebuah tempat penginapan (lodge) di ABC meraikan saya dengan menerbangkan kek menggunakan helikopter dari Pokhara.

Aishah Pun, Purna (pemilik lodge di Himalaya) dan penulis.
Aishah Pun, Purna (pemilik lodge di Himalaya) dan penulis.

Mungkin benar juga kata orang, tidak banyak orang Asia (melainkan Jepun) membuat kerja segila itu pada usia lebih 70 tahun.

Pasukan kami terdiri dari 12 orang berusia antara 20 hingga 71 tahun. Saya berusia 71 tahun, 10 bulan dan 14 hari apabila sampai di ABC pada ketinggian 4,130 meter.

Anas Sazali, Syahrulnizam dan Anas Syimer, masing-masing berusia 23, 21 dan 20 tahun, 50 tahun lebih muda daripada saya!

(Dari kiri) Syahrulnizam, Anas Sazali, penulis dan Anas Syimer.
(Dari kiri) Syahrulnizam, Anas Sazali, penulis dan Anas Syimer.

Husain Ahmad, Eksekutif Continental Tyres di Petaling Jaya berusia 10 tahun lebih muda dari saya. Terdapat tiga orang berusia 50-an dan empat orang lain berusia 40-an.

Sebahagian mereka (Mohd Noor Mat Amin, Aishah Pun, Addanan Ghani dan Zamira Mohd Akhir) merupakan sebahagian tim saya di Lembah Langtang tahun lalu.

Pasangan suami isteri, Mohammad Raziz dan Haida Azreena Hannie turut bersama kali ini di ABC. Mereka merupakan pendaki berpengalaman.

Husain (kanan) dan dua anaknya, Anas Sazali dan Anas Syimer.
Husain (kanan) dan dua anaknya, Anas Sazali dan Anas Syimer.

Seorang malim gunung dari Gunung Ledang, Mohd Firdaus Muhamad melengkapkan jumlah kami. Anas Sazali dan Anas Syimer adalah adik beradik, anak kepada Husain.

Pendakian ke ABC boleh dikategorikan sederhana atau sukar, bergantung kepada keupayaan masing-masing. Tapi hakikatnya, mendaki dan menuruni trek hutan tidak mudah, apa lagi menapak ribuan mata tangga buatan manusia.

Ada kalanya pendakian tiada hujungnya. Di ABC, yang muda berasa sama penatnya dengan yang tua. Pasukan kami bergerak dalam dua kumpulan.

Sebagai 'orang tua' saya tidak harus melambatkan pergerakan. Saya dalam kumpulan pertama dan Husain bersama kumpulan kedua. Kami semua akan berehat pada tempat tertentu, masing-masing melepaskan penat, baik yang tua atau muda.

Kekhuatiran paling utama ialah altitude sickness. Semakin tinggi kita berada semakin menurun kadar oksigen dan semakin menipis udara. Oleh demikian, proses acclimatization harus sempurna. Kami mengambil masa enam hari dari tempat mula, Kimrung Danda ke ABC.

Zamira di papan tanda memperingatkan tentang bahaya penyakit ketinggian (AMS).
Zamira di papan tanda memperingatkan tentang bahaya penyakit ketinggian (AMS).

Di Bovan, pada ketinggian 2,520 meter, tiba-tiba saya berasa sejuk luar biasa. Saya mulai menggigil. Waktu baru jam 2 petang. Bibir saya menjadi biru.

Fikiran liar mula datang, apakah itu tanda-tanda awal altitude sickness? Apakah ia akan menjejaskan paru-paru (pulmonary edema) atau otak (cerebral edema) saya?

Saya segera mencari tempat memanaskan badan, malah malam itu saya tidur di ruang makan dengan pemanas daripada tong gas. Walaupun rasa sejuk itu berlaku tidak sampai setengah jam tetapi mengkhuatirkan juga.

Dalam perjalanan setiap kali saya diperingatkan oleh Husain bahawa 'kalau bos gagal, kita gagal' dan 'kalau bos gagal, kita pusing balik'. Kenyataan itu menakutkan saya. Besar sekali tanggungjawab saya untuk memastikan kejayaan misi ini.

Bersama Husain yang 10 tahun lebih muda daripada penulis.
Bersama Husain yang 10 tahun lebih muda daripada penulis.

Saya tidak mahu menghampakan sesiapa. Tambahan pula saya sudah menyediakan kain rentang kecil bertulis 'Annapurna Base Camp (ABC) at 71 years, 10 months, 14 days, 23 September 2025'.

Saya tidak memberitahu sesiapapun kain itu. Saya simpan dengan rapi dalam beg. Saya akan hanya mengeluarkannya apabila berjaya sampai di ABC.

Maka, di Bovan saya menguatkan semangat dan mengingatkan diri saya rasa sejuk itu berpunca cuaca bukan petanda awal penyakit ketinggian.

Mulai di Bovam juga saya mula hilang selera makan. Saya tidak ada selera makan apa sahaja yang solid termasuk roti Gurung yang istimewa.

Selama hari-hari berikutnya saya hidup dengan telur, sup cendawan, maggi dan air. Sekali lagi saya bertanya sendiri apakah itu tanda-tanda awal musibah ketinggian.

Namun demikian, saya tidak berasa letih, pernafasan saya tidak terjejas, jantung saya stabil dan peliknya tenaga saya tidak berkurang. Malah pendakian dari Bovan ke Duareli dan kemudiannya Machhapuchhure dan ke ABC semakin mencabar tidak ada masalah bagi saya.

Kami sampai di ABC dengan rasa kesyukuran sebesar-besarnya. Bagi saya sendiri, saya gembira kerana tidak menjadi beban pada sesiapa.

Saya berdiri bangga di papan tanda ABC sebagai orang tua yang tidak menghampakan pasukan saya. Dan saya mencapai satu lagi impian saya.

>>> BERSAMBUNG

* Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau mendaki di Lembah Langtang, Nepal tahun lalu. Beliau banyak mendaki di Malaysia, Indonesia, United Kingdom dan Nepal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!