Anwar PM paling kerap datang Sabah, paling banyak beri peruntukan – Hajiji

Anwar (kanan) bersamaHajiji pada temu rapat dengan pemimpin masyarakat tempatan dan sahabat usahawan Tuaran di Dewan Kebudayaan Bajau Samah, Sulaman pada Khamis. Foto Bernama
Anwar (kanan) bersamaHajiji pada temu rapat dengan pemimpin masyarakat tempatan dan sahabat usahawan Tuaran di Dewan Kebudayaan Bajau Samah, Sulaman pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

TUARAN – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang sangat prihatin dan paling kerap melawat Sabah.

Beliau berkata, tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini melakukan perkara sedemikian.

Menurut Hajiji, Anwar juga merupakan Perdana Menteri yang paling banyak menyalurkan peruntukan kepada negeri itu.

"Mana ada Perdana Menteri begitu kerap datang melawat Sabah. Inilah dia PM yang begitu baik kepada Sabah yang membantu Sabah dapat berbagai peruntukan begitu banyak," katanya ketika berucap sempena Temu Rapat Dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Tuaran, pada Khamis.

Beliau menambah, Anwar juga telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap rakyat Sabah, dengan memberikan subsidi diesel.

"Kerajaan Persekutuan masih beri kita subsidi diesel. Di Sabah tidak seperti di Semenanjung Malaysia kerana beliau faham Sabah perlu dibantu. Sabah besar, perlu bantuan atau harga yang murah untuk minyak diesel," ujar Hajiji.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengimbas kembali bagaimana Perdana Menteri membawanya sendiri untuk berunding berkaitan soal kedaulatan Sabah.

"Apabila kita mengadakan rundingan dengan Indonesia, PM jemput saya dan Premier Sarawak jumpa dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

"Ini urusan negara, PM jemput kita datang untuk nyatakan pendirian kita, tidak pernah berlaku sebelum ini. Kita pun rasa senang hati juga, mana ada PM yang bagi ruang kepada Sabah.

Artikel Berkaitan:

"PM bawa jumpa Prabowo. PM suruh saya cakap sendiri tentang sempadan Sabah, jadi hasilnya bagus, kerana kita ada hubungan yang baik dengan Persekutuan," katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berharap semua pihak terus memberi sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan yang telah membawa banyak manfaat kepada Sabah dan rakyatnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang sangat prihatin dan sering melawat Sabah
  • Anwar dianggap sebagai Perdana Menteri yang paling banyak menyalurkan peruntukan ke Sabah
  • Anwar memberikan subsidi diesel kepada Sabah, memahami kebutuhan wilayah itu untuk bantuan harga minyak diesel yang lebih murah
  • Perdana Menteri membawa Hajiji untuk berunding soal kedaulatan Sabah dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menunjukkan perhatian kepada pendirian Sabah
  • Hajiji berharap sokongan terus diberikan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan yang membawa manfaat kepada Sabah dan rakyatnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!