Hajiji tolak dakwaan kerajaan Persekutuan ambil segalanya dari Sabah

Hajiji (tengah) beramah mesra bersama pengundi DUN Kiulu semasa hadir pada majlis bersama rakyat di Dewan Terbuka Kiulu, Tuaran.
Hajiji (tengah) beramah mesra bersama pengundi DUN Kiulu semasa hadir pada majlis bersama rakyat di Dewan Terbuka Kiulu, Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menolak dakwaan pihak pembangkang yang mengatakan kerajaan Persekutuan telah mengambil segala-galanya dari Sabah.

Tegasnya, kerjasama yang terjalin bukanlah tanda tunduk, sebaliknya platform mempertahankan hak negeri.

"Sebagai sebuah negara, kita juga mesti mempunyai kerjasama yang kuat dengan Persekutuan. Tetapi itu tidak bermakna kita tunduk kepada mereka.

"Dalam setiap pertemuan, saya sentiasa tegas dan berpendirian kukuh dalam mempertahankan tuntutan hak-hak Sabah.

"Jadi satu kerugian bagi negeri jika GRS tidak dapat meneruskan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya," katanya pada majlis bersama rakyat di Dewan Terbuka Kiulu, di sini pada Isnin.

Mengulas dakwaan bahawa kerajaan negeri pimpinan GRS telah gagal, Hajiji berkata, keadaan adalah sebaliknya.

"Pembangkang hanya mampu menjadi kerajaan negeri selama lebih dua tahun sahaja. Ini bermakna merekalah yang gagal," katanya.

Tambahnya, pihak pembangkang sebenarnya telah kehabisan idea, penuh dengan retorik dan hanya membangkitkan isu tanpa isi.

Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan yang diterajui GRS akan memastikan kestabilan politik di Sabah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hanya melalui kestabilan politik dan kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dapat membawa lebih banyak pembangunan dan melaksanakan rancangannya untuk mewujudkan Sabah yang makmur.

"Penting bagi rakyat untuk terus menyokong GRS, kerana kita mahu menjaga negeri kita sendiri.

"Kita memerlukan sokongan rakyat dan GRS mesti dikembalikan sebagai kerajaan dalam pilihan raya ini untuk memastikan kestabilan politik," katanya.

Sementara itu, beliau turut melahirkan keyakinan bahawa calon GRS di DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, akan dikembalikan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berdasarkan khidmatnya kepada pengundi di kawasan berkenaan.

"Dengan hanya empat hari lagi sebelum pilihan raya, saya menyeru rakyat untuk membuat pilihan yang tepat dan memastikan semua kejayaan yang telah kita capai dapat diteruskan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Ringkasan AI

  • TUARAN - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menolak dakwaan pihak pembangkang tentang kerajaan Persekutuan mengambil segala-galanya dari Sabah
  • Kerjasama dengan Persekutuan dilihat sebagai platform mempertahankan hak negeri bukan tanda tunduk
  • Hajiji menegaskan keperluan kerjasama kuat dengan Persekutuan untuk mempertahankan hak-hak Sabah
  • Beliau menyatakan pembangkang gagal memerintah Sabah dan kekurangan idea, menjanjikan kestabilan politik dan pembangunan melalui kerjasama erat dengan Persekutuan
  • Menyeru rakyat menyokong GRS dalam pilihan raya untuk kestabilan politik dan pembangunan Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!