Warga emas korban banjir kedua di Kelantan, kereta dihanyut air

TANAH MERAH - Seorang warga emas maut dan menjadi korban banjir kedua di negeri ini selepas kereta dinaiki dihanyutkan air deras di Kampung Batu Lima, Jalan Jedok di sini pada Rabu.
Mangsa, Siti Gayah Zakaria, 70, ditemukan maut tidak jauh dari lokasi kejadian tersebut manakala anaknya, Shamila Suzie Ahmad Basharuddin, 48, dilaporkan selamat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Pegawai Bomba Kanan II, Azhari Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.13 pagi.
"Kami dimaklumkan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX telah dihanyutkan arus deras.
"Terdapat dua mangsa yang merupakan anak beranak di dalam kereta terbabit yang mana salah seorang daripada mereka terselamat," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, seorang lagi mangsa merupakan warga emas dikatakan telah hanyut dibawa arus.
Ujarnya, kereta dinaiki dua beranak itu telah tersangkut di pembentung air.
Azhari memberitahu, usaha mencari mangsa dilakukan dan warga emas terbabit dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota penyelamat tidak jauh dari lokasi dia didapati hilang.
"Mangsa dibawa ke tempat selamat dan seterusnya diserahkan ke pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang warga emas maut dan menjadi korban banjir kedua di negeri ini selepas kereta dinaiki dihanyutkan air deras di Kampung Batu Lima, Jalan Jedok
- Mangsa, Siti Gayah Zakaria, 70, ditemukan maut tidak jauh dari lokasi kejadian manakala anaknya, Shamila Suzie Ahmad Basharuddin dilaporkan selamat
- Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Azhari Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.13 pagi
- Sebuah kereta jenis Proton Saga FLX dengan dua mangsa yang merupakan anak beranak telah dihanyutkan arus deras
- Usaha mencari mangsa dilakukan dan warga emas terbabit dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota penyelamat tidak jauh dari lokasi mangsa didapati hilang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

