Kereta dinaiki empat sekeluarga jatuh dalam longkang ketika cuba redah banjir

KUANTAN - Empat sekeluarga berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki mereka terjatuh ke dalam longkang ketika cuba meredah air banjir yang melimpah di Jalan Tersan, Raub pada awal pagi Jumaat.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub berkata, mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota Vios itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kelantan menuju Kuala Lumpur.
"Kejadian jam 5 pagi itu itu disedari anggota APM yang kebetulan melalui jalan berkenaan untuk ke lokasi pokok tumbang di Ulu Atok.

"Anggota terbabit segera membantu mangsa dan menarik kereta keluar dari longkang ke tempat selamat," katanya.
Menurutnya lagi, mangsa warga emas OKU berusia 60 tahun dihantar ke Hospital Raub untuk menerima rawatan," katanya.
Sementara itu, laluan berkenaan (Jalan Bentong-Gua Musang) sebelum Kampung Tersan (menghala ke Kuala Lipis) dan selepas Kg Tersan (menghala ke Raub) telah ditutup kepada kenderaan ringan.
APM Raub memaklumkan laluan sepanjang 100 meter itu ditenggelami air sedalam 0.70 meter akibat limpahan air sungai berhampiran.
Pengguna laluan berkenaan boleh menggunakan jalan alternatif melalui Jalan Ulu Renggol-Jalan Ulu Temalir-Jalan Ulu Atok-Kuala Atok atau Jalan Cheroh-Batu Malim-Sungai Koyan, Jalan Berchang -Sg Koyan-Jalan Bentong-Gua Musang dan Jalan Ulu Dong-Jalan Tualang Padang.
"Papan tanda amaran telah dipasang di laluan berkenaan selain pemantauan di lokasi dari masa ke semasa," ujarnya.
Ringkasan AI
- Empat sekeluarga terjatuh ke dalam longkang ketika meredah air banjir di Jalan Tersan, Raub
- Mangsa menaiki kereta Toyota Vios dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur
- Kejadian berlaku jam 5 pagi dan disedari oleh anggota APM
- Mangsa termasuk warga emas OKU berusia 60 tahun yang dihantar ke Hospital Raub
- Laluan Jalan Bentong-Gua Musang di dekat lokasi kejadian ditutup akibat banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

