WE2025 himpun pemimpin ASEAN dan global, pacu pemerkasaan ekonomi wanita

EDISI pertama WE2025: Future in Motion | Women in Trade · Investment · Leadership bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang kepimpinan, perdagangan dan inovasi di seluruh ASEAN dilancarkan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur pada Selasa.
Berlangsung dari 25 hingga 27 November 2025, WE2025 meletakkan Malaysia di barisan hadapan agenda pertumbuhan inklusif ASEAN dengan kehadiran 10,000 pengunjung, 150 pempamer, 1,000 perwakilan persidangan dan lebih 80 penceramah Persidangan Kepimpinan dan 15 acara satelit.
Pada masa sama, berteraskan lima tonggak utama, Ekonomi Wanita, Pemerkasaan, Keusahawanan, Kecemerlangan dan Evolusi, WE2025 mentakrifkan semula kepimpinan ekonomi melalui inklusiviti, kemampanan dan inovasi.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hajah Hanifah Hajar Taib ketika berucap pada majlis perasmian WE2025 berkata, kepimpinan wanita kekal sebagai satu keperluan strategik.
“Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berusaha merapatkan jurang kepimpinan ini melalui dasar-dasar yang memajukan wanita di semua peringkat pembuatan keputusan dalam kerajaan, GLC, bilik lembaga pengarah, sektor STEM dan lain-lain.
“Masa depan Malaysia bergantung pada usaha membuka potensi penuh setiap rakyat, wanita mesti diperlengkapkan dan diberdayakan untuk memimpin. WE2025 mengangkat komitmen ini sebagai agenda nasional dalam pemerkasaan ekonomi dan kepimpinan,” katanya.
Terdahulu, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pada 2024 melaporkan bahawa wanita kini mengatasi lelaki dalam pendidikan tinggi dengan skor Indeks Jurang Gender Malaysia sebanyak 1.071 mata dan mewakili 56.2 peratus tenaga kerja nasional termasuk 83.2 peratus graduan wanita.
Namun hanya 25.4 peratus wanita memegang jawatan pengurusan dan memimpin 20.3 peratus perusahaan berdaftar, satu jurang yang ingin dirapatkan oleh WE2025 melalui kolaborasi, dialog dasar dan pelaburan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia dan Pengerusi Penganjur Bersama WE2025, Richard Teo berkata, WE2025 diwujudkan dengan matlamat jelas untuk menyediakan platform di mana wanita dapat memainkan peranan utama dalam perdagangan, pelaburan, keusahawanan dan pembuatan keputusan.
“Melalui Persidangan Kepimpinan, Pameran Perdagangan, platform padanan perniagaan dan 15 acara satelit, kami berhasrat untuk mencetuskan kerjasama, idea baharu dan peluang bermakna kerana kemajuan sebenar hanya boleh dicapai apabila kita bersama-sama melangkah ke hadapan,” katanya.
Majlis perasmian turut diserikan dengan kehadiran pemimpin terkemuka termasuk bekas Presiden Kosovo,TYT Atifete Jahjaga; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselerasi Eksport) MATRADE, Abu Bakar Yusof; Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa KPWKM, Dr Satish Ranggayah dan Pengarah Urusan Qube Integrated, Jessie Tan.
Pada majlis sama, baginda turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara BRICS Women’s Business Alliance diwakili Anna Nesterovas dan Persatuan Usahawan Wanita Kebangsaan Malaysia (NAWEM) yang diwakili Timbalan Presiden, Saliza Abdullah.
MoU itu dimeterai bagi tujuan penubuhan Pejabat Wilayah BRICS Women Business Alliance di Malaysia sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab strategik kerjasama ekonomi yang diterajui wanita dengan negara anggota BRICS.
Baginda kemudian berkenan melawat Pameran Perdagangan dan mengunjungi perusahaan mikro yang diterajui wanita di bawah KPWKM di WE2025 Marketplace, tajaan Printdaddy Sdn Bhd.
Majlis perasmian disusuli dengan Persidangan Kepimpinan yang menghimpunkan pembuat dasar, peneraju korporat dan pemikir global untuk sesi dialog selama dua hari bagi mengupas isu berkaitan tadbir urus, daya tahan ekonomi, Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, Matematik dan Penetapan Minda (STEAMM) serta masa depan pekerjaan.
Antara acara utama pada hari pertama persidangan termasuk Sesi Bual Bicara bersama bekas Presiden Kosovo (2011–2016), TYT Atifete Jahjaga yang dikendalikan Khairy Jamaluddin mengenai kepimpinan inklusif dalam demokrasi pasca-konflik.
Diikuti Sesi Kepimpinan 1 bersama mantan Menteri Luar Negeri Indonesia, TYT Retno L.P. Marsudi; Duta Besar Finland ke Malaysia, TYT Anne Vasara; Pengerusi Universiti UCYP, Tan Sri Profesor Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How, mengenai kepercayaan dan tadbir urus.
Berikutnya, sesi Bual Bicara bersama Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, mengenai inovasi dan sempadan digital dan sesi Kepimpinan 2 menampilkan Pengerusi MRANTI, Professor Dr Rofina Yasmin Othman; Ketua Pegawai Teknologi nanoSkunkWorkX, Dr Amani Salim dan Ketua Pegawai Eksekutif Intrinsic SEA, Ravenna Chen yang membincangkan masa depan tenaga kerja serantau berasaskan STEAMM.
Perbincangan itu menekankan kepentingan kepimpinan inklusif, penggunaan AI secara beretika dan kerjasama rentas sektor dalam membentuk tenaga kerja serantau yang berdaya tahan.
WE2025 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia, dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Ia disokong Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), MATRADE, Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB), rakan tapak acara strategik MITEC, dan penaja korporat Berjaya Food Berhad.
Rakan strategiknya termasuk Intrinsic SEA, NCWO, Printdaddy, Peniagawati Malaysia, ACCCIM, MCMTC, FMM, MICCI, MCCC, Wanita SAMENTA, The MIND Academy, WISTA Malaysia, Yingke Malaysia, Invest Penang, dan NAWEM.
Pameran Perdagangan selama tiga hari ini menampilkan lebih 150 pempamer yang merangkumi perusahaan diterajui wanita, inisiatif kerajaan dan sokongan sosial, jenama ekonomi kreatif, syarikat teknologi dan inovasi, pameran korporat, pelancongan, kesihatan dan usahawan mikro dari Malaysia, China, Singapura, Timur Tengah, Kanada dan Jepun.
Ia disokong oleh WE in Exchange, platform padanan perniagaan berstruktur yang menghubungkan usahawan, pelabur dan pembuat keputusan bagi menjalin hubungan komersial yang bermakna.
WE2025 turut menganjurkan 15 acara satelit, termasuk ASEAN Technology Cooperation and Development Summit (Intrinsic SEA), Women in Shipping and Maritime Forum (WISTA), Power Women Summit (The MIND Academy), Strong Outside, Struggling Inside: The Reality of Men in Leadership (MyMasterMan) serta dialog perniagaan oleh Kosovo dan Bhutan, kesemuanya dirangka bagi mengukuhkan kerjasama dan memacu pertumbuhan serantau yang mampan.
Ringkasan AI
- Edisi pertama WE2025: Future in Motion | Women in Trade · Investment · Leadership dilancarkan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan, perdagangan dan inovasi di ASEAN
- Berlangsung dari 25 hingga 27 November 2025, acara ini meletakkan Malaysia sebagai pemimpin agenda pertumbuhan inklusif ASEAN dengan 10,000 pengunjung, 150 pempamer, dan lebih dari 80 penceramah
- WE2025 bertumpu pada lima tonggak utama yaitu Ekonomi Wanita, Pemerkasaan, Keusahawanan, Kecemerlangan dan Evolusi untuk mendefinisikan semula kepimpinan ekonomi
- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memfokuskan penutupan jurang kepimpinan wanita di sektor pembuatan keputusan dengan memperkasakan wanita di semua peringkat
- WE2025 menawarkan platform untuk wanita memainkan peranan penting dalam perdagangan, pelaburan dan kepimpinan melalui acara seperti Persidangan Kepimpinan dan Pameran Perdagangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


