Andalusia perkasa, tambah pegawai pemasaran dalam program Road Tour 2025

DALAM usaha meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada bakal jemaah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) mengorak langkah menganjurkan Road Tour Andalusia 2025 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Ahad.
Pengarah Road Tour Andalusia 2025 Zon 3, Mohamed Faisal Shaik Allaudin berkata, penganjuran program tersebut penting dalam usaha memperkasakan pegawai pemasaran sedia ada dan dalam masa sama menambah pegawai baharu yang berkualiti bagi mengendalikan jemaah haji serta umrah.
“Penting bagi pegawai pemasaran untuk memahami produk yang ditawarkan syarikat untuk dipersembahkan kepada orang ramai.
“Pada program ini, pelbagai aktiviti telah disusun termasuk perkongsian inspirasi pegawai pemasaran, bicara perdana, pendaftaran pegawai baharu serta taklimat khas perjalanan dan pakej haji,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus.
Menurutnya, Andalusia komited untuk menarik kira-kira 800 orang pegawai pemasaran baharu di setiap zon bagi memperkukuhkan struktur pemasaran dan mengaktifkan semula pegawai pemasaran lama melalui bimbingan serta motivasi langsung.

Selain itu katanya, program bertemakan ‘Ke arah umrah dan haji mabrur’ ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran komuniti setempat mengenai kelebihan menyertai Andalusia sebagai pegawai pemasaran dan jemaah.
Road Tour Andalusia 2025 Zon 3 yang diadakan selama sehari di Putrajaya melibatkan Andalusia cawangan Putrajaya, Bangi, Puchong, Senawang, Klang dan Banting.
Sementara itu, Ketua Operasi Haji Andalusia untuk musim 1447H/2026, Ustaz Mohd Hanafie Mohamad Zin menjelaskan, bakal jemaah haji dinasihatkan untuk menyemak senarai pengelola jemaah haji (PJH) yang dikeluarkan Lembaga Tabung Haji sebelum bersetuju memilih pakej yang ditawarkan.

“Terdapat 34 syarikat yang memperoleh lesen PJH untuk mengendalikan jemaah haji musim 1447H/2026.
“Selain itu, semak juga visa yang ditawarkan. Apakah ia visa haji atau visa mujamalah?
“Jika selain visa haji dan visa mujamalah, kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan seseorang itu menunaikan haji,” katanya.
Tambah beliau, jika ada tawaran melaksanakan ibadah haji menggunakan visa pelancong atau visa pekerja, ia salah di sisi undang-undang kerajaan Arab Saudi.
“Sebagai contoh, walaupun kita bekerja di Makkah semasa musim haji, kita tidak dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji jika tidak mendapat visa haji.
“Justeru, berhati-hatilah dalam memilih pakej haji yang ditawarkan di pasaran. Jika memilih untuk keselesaan ketika menunaikan haji, boleh ambil pakej haji yang ditawarkan Andalusia,” jelasnya.
Ujarnya, Andalusia merupakan syarikat PJH yang diberikan lesen PJH sejak 2005 dan lesen tersebut diperbaharui setiap tahun tanpa gagal sehingga sekarang.
Pada musim haji lepas iaitu 1446H/2025, Andalusia mengendalikan 555 jemaah haji dengan kekuatan 18 petugas haji.

Dalam pada itu, Ustaz Mohd Hanafie menjemput orang ramai untuk hadir ke Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Pengelola Jemaah Haji kali keempat yang diadakan di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang pada 28 hingga 30 November 2025.
Ujarnya, sebagai PJH, Andalusia akan mempromosikan pakej haji, umrah dan pelancongan kepada pengunjung dalam karnival berkenaan.
Ringkasan AI
- Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menganjurkan Road Tour Andalusia 2025 untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada bakal jemaah haji dan umrah
- Program bertujuan untuk memperkasakan pegawai pemasaran sedia ada dan merekrut pegawai baru
- Usaha ini diharap dapat menarik kira-kira 800 orang pegawai pemasaran baharu di setiap zon
- Ketua Operasi Haji Andalusia menekankan pentingnya memeriksa senarai pengelola jemaah haji dan jenis visa sebelum memilih pakej haji
- Andalusia mempunyai lesen PJH sejak 2005 dan telah mengendalikan 555 jemaah haji pada musim haji lepas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

