'Jangan hanya anggap simpanan Tabung Haji sebagai pelaburan' - Daud Che Ngah

Md Daud (berdiri) memberikan perkongsian sempena Road Tour Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd dan Karnival Jimba di Masjid Sultan Azlan Shah pada Sabtu.
Md Daud (berdiri) memberikan perkongsian sempena Road Tour Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd dan Karnival Jimba di Masjid Sultan Azlan Shah pada Sabtu.
A
A
A

PASIR SALAK - Pendeposit dinasihatkan supaya tidak menjadikan simpanan Tabung Haji (TH) sebagai tempat untuk melabur sebaliknya memahami fungsi utamanya sebagai dana persediaan menunaikan ibadah haji.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, sebahagian pendeposit tersilap faham apabila melihat akaun TH sebagai ruang pelaburan jangka panjang sedangkan simpanan itu sepatutnya kekal khusus untuk tujuan haji.

Menurutnya, ramai yang mengeluarkan simpanan selepas melihat prestasi pulangan TH turun sedikit dan akhirnya menjejaskan kelayakan mereka apabila tiba giliran dipanggil ke tanah suci.

"Ada pendeposit simpan RM30,000 hingga RM40,000, sebenarnya sudah cukup untuk pergi haji tetapi bila tengok pulangan TH turun, mereka keluarkan duit untuk dilaburkan di tempat lain.

"Bila surat panggilan haji sampai, simpanan tidak mencukupi. Nak ambil balik duit pelaburan saham pun tak boleh sebab harga tengah jatuh. Akhirnya mereka tak mampu untuk pergi,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena program Road Tour Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd dan Karnival Jimba di Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.

Md Daud menegaskan bahawa simpanan haji tidak seharusnya disentuh atau dipindahkan berdasarkan sentimen keuntungan semasa kerana ia bukan wang pelaburan yang boleh diambil keluar sesuka hati.

"Pada pendapat saya, jangan keluar langsung simpanan TH untuk tujuan lain. Saya sendiri ada banyak pelaburan di tempat lain, tetapi wang untuk haji saya letak dalam TH dan saya tak usik.

"Itu duit khas haji. Kalau nak melabur atau guna untuk keperluan lain, carilah duit lain. Jangan ganggu dana haji,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, masalah kekurangan simpanan menjadi antara punca terbesar pendeposit menolak tawaran haji meskipun sudah lama mendaftar.

Katanya, ramai hanya membayar syarat minimum pendaftaran RM1,300 tanpa memahami kos sebenar yang diperlukan ketika dipanggil.

“RM1,300 hanya syarat daftar. Bila dipanggil, sekurang-kurangnya mesti ada RM13,000 dalam akaun untuk bayaran wajib kepada kerajaan Arab Saudi.

“Kemudian perlu lagi RM23,600 untuk kos perjalanan, hotel, makanan dan perkhidmatan. Jumlah keseluruhan sekitar RM33,600. Dari RM1,300 nak jadi RM33,600 mana mereka nak dapat?” katanya yang berpengalaman 50 tahun sebagai pembimbing haji.

Selain kewangan, Md Daud yang juga bekas Pengurus Besar TH berkata, peraturan kesihatan Arab Saudi yang semakin ketat turut menyebabkan kadar penolakan meningkat sehingga 50 peratus.

“Ramai yang daftar ketika muda, tetapi bila giliran tiba, umur dah 60 tahun dan ada pelbagai penyakit.

"Bacaan darah tinggi, jantung, kencing manis... kalau tak lepas, mereka memang tak boleh pergi. Kerajaan Arab Saudi sangat ketat sekarang,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendeposit tidak berdosa menolak tawaran haji sekiranya tidak memenuhi syarat wajib seperti kemampuan kewangan atau kesihatan.

Md Daud menasihatkan bakal jemaah supaya membuat persiapan awal dan memastikan simpanan haji tidak disentuh, agar mereka tidak terbeban ketika tiba masa dipanggil menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Pada 20 November lalu, media melaporkan sebanyak 50 peratus jemaah haji yang mendapat tawaran menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini dilaporkan menolak tawaran tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kebanyakan penolakan itu berpunca daripada kekangan kewangan yang dihadapi para jemaah.

Beliau turut mendedahkan bahawa 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji (TH) memiliki simpanan kurang daripada RM1,300.

 

 

Ringkasan AI

  • Pendeposit Tabung Haji dinasihatkan tidak menjadikan simpanan sebagai pelaburan jangka panjang tetapi untuk persediaan haji
  • Ramai pendeposit mengeluarkan simpanan selepas pulangan TH turun, menjejaskan kelayakan mereka untuk haji
  • Simpanan haji tidak seharusnya dipindahkan atau disentuh berdasarkan sentimen keuntungan semasa
  • Masalah kekurangan simpanan adalah punca utama penolakan tawaran haji
  • Peraturan kesihatan Arab Saudi yang ketat menyebabkan kadar penolakan haji meningkat sehingga 50 peratus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!