Jentera BN Sabah seperti 'mesin perang', berada di landasan kemenangan - Bung Moktar

KOTA KINABALU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyifatkan jentera BN Sabah kini bergerak seperti "mesin perang” yang sukar dihentikan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada Sabtu ini.
Beliau yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berkata, gerak kerja jentera BN di 45 kawasan DUN berjalan tersusun, terancang, dan berdisiplin.
"Setiap laporan daripada lapangan dianalisis dengan teliti untuk memastikan strategi kita berada pada landasan yang betul.
"Setiap angka, setiap pergerakan lawan, setiap denyut nadi pengundi semuanya kita ketahui. BN Sabah berada di landasan menang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Bung Moktar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan strategik dan jentera BN Sabah yang bekerja tanpa henti sejak hari pertama kempen.
Beliau berkata, kekuatan BN tidak terletak pada laungan semata-mata tetapi pada pengalaman, rekod pentadbiran, kemampuan memimpin dan kepercayaan rakyat kepada gabungan itu.
"Rakyat tahu BN ada rekod. BN ada pasukan. BN ada pengalaman. Sementara yang lain sibuk berdrama, kita fokus bekerja. Sebab itu kita yakin akan menang,” katanya.
Bung Moktar menegaskan PRN kali ini bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi penentu hala tuju masa depan Sabah, dan rakyat berhak memilih parti yang mampu menawarkan kestabilan politik, pembangunan berterusan, dan kepimpinan berpengalaman.
"Dengan baki beberapa hari terakhir kempen, War Room BN Sabah akan terus menjadi tunjang penyelarasan strategi dan operasi jentera di seluruh negeri,” katanya.
Beliau turut meninjau operasi War Room BN Sabah, yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan maklumat lapangan secara masa nyata, termasuk pola sokongan terkini, isu mengikut DUN, pergerakan jentera, serta perkembangan kempen parti lawan.
Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka dalam PRN kali ini, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan, dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. - Bernama
Ringkasan AI
- KOTA KINABALU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyifatkan jentera BN Sabah bergerak seperti "mesin perang" yang sukar dihentikan dalam PRN Sabah ke-17
- Gerak kerja jentera BN di 45 kawasan DUN dijalankan secara tersusun, terancang, dan berdisiplin
- BN Sabah menganalyzis setiap laporan untuk memastikan strategi berada pada landasan yang betul
- Kekuatan BN berpandukan pada pengalaman, rekod pentadbiran, kemampuan memimpin dan kepercayaan rakyat
- PRN kali ini dilihat sebagai penentu hala tuju masa depan Sabah, menawarkan kestabilan politik, pembangunan berterusan, dan kepimpinan berpengalaman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
