PRN Sabah: Pola pengundi masih sukar dibaca - Penganalisis

Berbaki empat hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah, pola pengundi dilihat masih sukar dibaca. Gambar hiasan (Gambar kecil: Md Saffie)
Berbaki empat hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah, pola pengundi dilihat masih sukar dibaca. Gambar hiasan (Gambar kecil: Md Saffie)
A
A
A

KOTA KINABALU - Berbaki empat hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah, pola pengundi dilihat masih sukar dibaca.

Penyelidik Unit Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo (GEOPES), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Md Saffie Abdul Rahim berkata, pola pengundian dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya ialah etnik, tokoh dan parti.

"Namun setakat ini, kita masih sukar membaca pola pengundian semasa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau menjelaskan bahawa tiga faktor itu wujud berdasarkan satu konsep yang memberi kesan besar dalam PRN kali ini iaitu 'primordial'.

"Konsep 'primordial' ini merujuk kepada golongan yang sebenarnya tidak melihat kepada pembangunan.

"Primordial ini mengundi kerana etnik, parti dan tokoh. Konsep ini mungkin beri signifikan pilihan raya tahun ini," katanya.

Menurutnya lagi, ketika ini aktiviti kempen tidak serancak sebelum ini walaupun sudah memasuki minggu kedua.

"Berdasarkan pemerhatian saya, masih ada jentera parti belum selesai memasang bendera dan poster.

"Jika pilihan raya sebelum ini, pada hari pertama, hari kedua, atau pada minggu pertama, bendera sudah siap dipasang atau penuh di tepi-tepi jalan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pengundi muda pula, beliau berkata masih terdapat golongan muda yang tidak mengetahui mereka layak mengundi.

"Bila kami turun ke lapangan bertemu pengundi muda, masih ada yang tidak tahu mereka layak mengundi.

"Pada pendapat saya, walaupun jumlah mereka besar, tapi belum tentu pengundi muda memberi kesan besar khususnya kepada figura-figura lama," katanya.

Namun tegasnya, secara keseluruhan kempen masih berjalan dan parti politik masih giat mempengaruhi pengundi, selain sokongan yang masih belum boleh dinilai.

 

 

Ringkasan AI

  • Pola pengundi di PRN Sabah sukar dibaca
  • Faktor etnik, tokoh, dan parti mempengaruhi pola pengundian
  • Konsep 'primordial' beri kesan besar pada pilihan raya kali ini
  • Kempen tidak serancak sebelumnya, bendera dan poster belum sepenuhnya dipasang
  • Pengundi muda tidak menyedari kelayakan mereka untuk mengundi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!