Caj tol Genting Highlands: Pas Pahang tuntut penjelasan segera

KUANTAN – Pas Pahang menuntut penjelasan rasmi daripada kerajaan negeri berhubung Caj Jalan Persendirian (CJP) yang akan dilaksanakan di Genting Highlands, Bentong.
Ketua Penerangannya, Aireroshairi Roslan berkata, perkara terbabit mencetuskan kebimbangan awam kerana melibatkan kepentingan rakyat negeri ini termasuk pekerja, penduduk setempat dan penggiat industri pelancongan.
Menurutnya, Genting Highlands adalah nadi pelancongan negeri dan sebarang keputusan yang melibatkan akses ke kawasan itu memberi kesan terus kepada ekonomi tempatan serta kehidupan rakyat.
"Oleh itu, kerajaan negeri bertanggungjawab menjelaskan perkara ini dengan penuh ketelusan dan tanpa berlengah.

"Ia termasuk status sebenar cadangan tol iaitu adakah cadangan itu telah dipersetujui dan siapa yang akan kutip caj tersebut jika dilaksanakan,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan, jalan raya ke Genting Highlands adalah kemudahan awam yang digunakan oleh rakyat sejak sekian lama.
Justeru katanya, sebarang usaha untuk mengenakan tol perlu mengambil kira prinsip keadilan, ketelusan dan tidak menekan golongan pekerja serta usahawan kecil yang mencari rezeki di kawasan tersebut.
"Jadi, kita menggesa kerajaan beri penjelasan segera agar spekulasi yang sedang berleluasa dapat dihentikan dan rakyat diberikan maklumat yang tepat," katanya.
Terdahulu, cadangan CJP oleh pihak Genting Malaysia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna dan masyarakat beberapa minggu lalu.
Pada 15 November lalu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim menjelaskan, jalan berkenaan bukan jalan Persekutuan atau negeri, sebaliknya dibina dan diselenggara oleh pihak Genting Malaysia sejak 1960-an.
Beliau turut menasihati pihak Genting Malaysia supaya mengambil kira faktor kebajikan komuniti setempat, termasuk penduduk yang menghantar anak bersekolah di kawasan berkenaan sekiranya caj itu di umum kelak.
Ringkasan AI
- Pas Pahang menuntut penjelasan kerajaan negeri berkenaan caj jalan persendirian di Genting Highlands
- Perkara tersebut mencetuskan kebimbangan awam termasuk pekerja, penduduk setempat dan penggiat industri pelancongan
- Genting Highlands adalah pusat pelancongan penting dan sebarang keputusan berkaitan akses ke sana mempengaruhi ekonomi tempatan
- Pengenalan tol memerlukan pertimbangan keadilan dan ketelusan selain tidak sepatutnya memberatkan golongan pekerja serta usahawan kecil
- Cadangan Caj Jalan Persendirian oleh Genting Malaysia telah menimbulkan kebimbangan sebelum ini dan kerajaan diminta untuk mempertimbangkan kebajikan komuniti setempat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

