[VIDEO] Lawatan rasmi PM: Kerajaan jawab isu penggunaan pesawat sewaan khas

A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Pejabat Perdana Menteri menegaskan bahawa delegasi perniagaan yang mengiringi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya menanggung sepenuhnya kos masing-masing tanpa melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, penjelasan itu perlu bagi mengelakkan salah faham susulan keputusan menggunakan penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines untuk lawatan tersebut.

“Kerajaan hanya menanggung kos delegasi rasmi kerajaan,” tegasnya pada sesi taklimat bersama media di sini pada Isnin.

Menurut beliau, kerajaan memilih pesawat sewaan khas kerana faktor penjimatan masa, kos yang lebih efisien serta penyelarasan jadual lawatan yang padat di tiga negara berkenaan.

“Penerbangan sewaan khas ini lebih ekonomik berbanding penggunaan pesawat kerajaan sepenuhnya. Selain itu, adalah penyelarasan di mana delegasi kerajaan dan perniagaan akan berlepas serta tiba bersama-sama menjamin kehadiran tepat untuk semua mesyuarat serta libat urus,” katanya.

Mengulas mengenai penyertaan syarikat swasta, Tunku Nashrul menjelaskan bahawa delegasi perniagaan terdiri daripada pelbagai syarikat korporat utama, syarikat inovatif serta syarikat baharu yang sedang mengenal pasti peluang pelaburan di Afrika.

Pesawat Malaysia Airlines digunakan untuk tujuan lawatan rasmi Anwar ke negara Afrika.
Pesawat Malaysia Airlines digunakan untuk tujuan lawatan rasmi Anwar ke negara Afrika.

Sebahagian syarikat berkenaan, katanya, masih dalam fasa meneroka pasaran dan akan memanfaatkan forum perniagaan serta sesi padanan perniagaan yang disusun sepanjang lawatan.

Artikel Berkaitan:

“Sinergi antara rundingan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan kerjasama perniagaan dengan perniagaan (B2B) membantu membuka pasaran baharu, mengukuhkan operasi sedia ada dan meningkatkan kedudukan Malaysia di rantau strategik ini,” jelas beliau.

Menjawab pertanyaan mengenai keperluan delegasi perniagaan mengiringi lawatan Perdana Menteri beliau berkata, kerajaan mengamalkan pendekatan diplomasi ekonomi langsung iaitu rundingan rasmi kerajaan dilaksanakan bersama penglibatan segera pemain industri.

“Kehadiran syarikat Malaysia membolehkan padanan serta-merta dibuat antara keperluan pasaran di Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya dengan kepakaran yang dimiliki syarikat kita,” jelasnya.

Tunku Nashrul berkata, pemilihan syarikat dibuat oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pelaburan, perdagangan dan industri selepas mendapat persetujuan Anwar.

Katanya, amalan itu turut melibatkan kerjasama rapat dengan dua agensi utama di bawah MITI iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“MIDA dan Matrade berfungsi sebagai pemudah cara dengan menyelaras keperluan industri, mengenal pasti potensi kerjasama dan menyediakan platform pertemuan perniagaan bersama rakan strategik di negara yang dilawati,” ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan bersepadu antara MITI, MIDA dan Matrade telah lama menjadi asas kepada usaha kerajaan menarik pelaburan, memperluaskan akses pasaran dan mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan negara luar.

Lawatan Anwar dan delegasi ke ketiga-tiga negara itu bermula Selasa sehingga 24 November depan.

Ringkasan AI

  • Pejabat Perdana Menteri menegaskan delegasi perniagaan mengiringi Anwar ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya menanggung kos sendiri
  • Tunku Nashrul Abaidah memberi penjelasan untuk mengelak salah faham tentang penggunaan penerbangan sewaan khas
  • Kerajaan hanya menanggung kos delegasi rasmi kerajaan
  • Penjelasan diberi dalam sesi taklimat bersama media di Putrajaya
  • Lawatan tersebut melibatkan tiga negara yaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!