Kaki berjahit, paha patah tidak patahkan semangat dua calon SPM duduki peperiksaan

KOTA BHARU — Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini hadir menduduki peperiksaan hari pertama pada Selasa dalam keadaan kaki luka dan menerima tujuh jahitan akibat tergelincir di rumah yang dinaiki banjir.
Mohamad Farid Haikal Abdullah, 17, dari Paya Senang, Telipot, berkata, keadaan banjir sedalam 0.3 meter di pekarangan rumahnya sejak awal minggu lalu menyebabkan laluan masuk ke rumahnya menjadi licin sehingga dia tergelincir pada Sabtu lalu.
“Rumah saya rumah papan, basah dan licin, saya terjatuh serta luka terbelah panjang di bahagian bawah tapak kaki hingga ibu jari.
“Sehari tak dapat sekolah, masih sakit tapi saya tak mahu terlepas hari pertama SPM hari ini,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini pada Selasa.
Dia dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II akibat kecederaan itu.
Mohamad Farid dihantar ibunya, Siti Nur Hidayah Ishak, 35, yang bekerja sebagai juruwang ke sekolah bagi memastikan dia menduduki peperiksaan itu meskipun keadaan bahagian dapur rumah masih digenangi air.
“Saya harap dapat jawab soalan Bahasa Melayu dengan baik dan sakit ini tak mengganggu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi calon, Mohd Izham Ruzaimi Zakaria, 17, hadir ke peperiksaan itu dalam keadaan patah paha kanan selepas terbabit dalam kemalangan motosikal terbabas pada Oktober lalu.
Mohd Izham Ruzaimi, anak bongsu daripada lima beradik, terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak ke dewan di sekolah berkenaan dan dibantu beberapa rakan.
Sejak kejadian, dia tidak dapat bersekolah hampir dua bulan, menyebabkan banyak ulang kaji pelajaran dilakukan dari rumah menggunakan bahan rujukan dan video di TikTok.
“Memang gugup nak masuk peperiksaan sebab lama tak hadir kelas, tapi saya cuba yang terbaik.
“Saya tak mahu kecederaan jadi alasan untuk gagal,” katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam latihan kemahiran pengimpalan.
Ringkasan AI
- Seorang calon SPM di Kelantan hadir peperiksaan dengan kaki luka terima tujuh jahitan akibat tergelincir di rumah banjir
- Mohamad Farid Haikal Abdullah, 17 tahun, tergelincir kerana lantai rumah papan yang licin akibat banjir
- Dia dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan dihantar ke sekolah oleh ibunya walaupun dapur rumah masih digenangi air
- Mohamad Farid berharap dapat menjawab soalan Bahasa Melayu dengan baik walaupun dalam keadaan sakit
- Seorang lagi calon, Mohd Izham Ruzaimi, hadir dengan paha kanan patah akibat kemalangan motosikal dan telah menggunakan bahan rujukan serta video TikTok untuk ulang kaji
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

