Pelajar tular dakwa dibuli dan dihalang ambil SPM akan duduki peperiksaan tahun depan - JPNJ

Tangkap layar Afiq Noordin dalam Facebook miliknya bersama-sama pelajar perempuan yang didakwa tidak dapat menduduki peperiksaan SPM 2025. Foto tular
Tangkap layar Afiq Noordin dalam Facebook miliknya bersama-sama pelajar perempuan yang didakwa tidak dapat menduduki peperiksaan SPM 2025. Foto tular
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tular sebelum ini kisah seorang pelajar di negeri ini yang menjadi mangsa buli mendakwa dihalang daripada menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Perkara itu didedahkan menerusi perkongsian daripada pemuda dikenali Afiq Noordin di Facebook berkaitan remaja perempuan Hakifays (bukan nama sebenar) yang membantu ibunya di gerai makan.

Gadis itu mendakwa telah menjadi mangsa buli kerana fizikalnya sejak Tingkatan satu dan situasi bertambah buruk sehingga penjaganya mengambil keputusan untuk memberhentikan persekolahannya pada tahun lalu.

Hasrat gadis itu untuk menduduki SPM tahun ini terkubur biarpun dia mendakwa telah memaklumkan perkara itu kepada guru sekolah, namun diberikan alasan tempat sudah penuh.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) pada Rabu mengesahkan isu tular berhubung pelajar berkenaan yang mendakwa dihalang menduduki SPM 2025.

Menurut JPNJ, hasil siasatan mendapati pelajar terbabit sebenarnya telah berhenti sekolah pada tahun 2024 atas permintaan penjaga untuk mengikuti bidang kemahiran.

"Tindakan pemulihan telah diberikan oleh pihak sekolah berkenaan isu buli membabitkan pelajar terbabit.

"Perjumpaan khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bersama penjaga bersetuju pelajar akan menduduki SPM pada tahun 2026.

"Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah juga telah memberikan bantuan berkaitan urusan pendaftaran sebagai calon SPM 2026," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Menurut JPNJ, bagi memastikan komitmen berterusan berkaitan kebajikan dan pendidikan pelajar tersebut, GIATMARA menawarkan tajaan penuh pengajian selama enam bulan bermula Januari 2026.

"Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti, dan Swasta (PIBKS) daerah pula akan menanggung sewaan bilik selama enam bulan untuk memastikan murid dapat mengikuti program kemahiran.

"JPNJ menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, GIATMARA dan PIBKS yang membantu memastikan kebajikan dan pendidikan murid sentiasa menjadi keutamaan.

"JPNJ terus komited memastikan tiada keciciran murid dalam menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," maklum kenyataan itu lagi.

Ringkasan AI

  • Seorang pelajar di Johor Bahru mendakwa dihalang dari menduduki Sijil Pelajaran Malaysia 2025 kerana menjadi mangsa buli
  • Pelajar tersebut telah berhenti sekolah atas permintaan penjaga untuk mengikuti bidang kemahiran pada tahun 2024
  • Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengesahkan isu tersebut dan menyatakan pelajar akan menduduki SPM pada tahun 2026
  • GIATMARA menawarkan tajaan penuh pengajian selama enam bulan kepada pelajar tersebut bermula Januari 2026
  • Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti, dan Swasta akan menanggung sewaan bilik selama enam bulan bagi membantu murid mengikuti program kemahiran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!