Legenda Bollywood, Dharmendra meninggal dunia

Dharmendra
Dharmendra
A
A
A

MUMBAI - Dunia perfileman Bollywood kehilangan satu permata seni apabila pelakon veteran, Dharmendra disahkan meninggal dunia pada usia 89 tahun di kediamannya di Juhu, India.

Berita pemergian beliau dikongsikan pengarah terkenal, Karan Johar menerusi beberapa hantaran di Instagramnya.

Bagaimanapun, punca kematian aktor 70-an itu masih belum diketahui setakat ini.

Perdana Menteri India, Narenda Modi turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang susulan pemergian insan tercinta dengan mengatakan 'maka berakhirlah satu era perfileman'.

Dharmendra dikenali kerana lakonannya yang berkesan dalam filem seperti Ayee Milan Ki Bela, Phool Aur Patthar, Aaye Din Bahar Ke, Seeta Aur Geeta, Raja Jani, Jugnu, Yaadon Ki Baaraat, Dost, Sholay, Pratiggya, Charas, Dharam Veer dan lain-lain.

Kali terakhir kemunculan mendiang dalam layar perak adalah melalui filem Rocky Aur Rani Kii Prem Kahaani arahan Karan Johar pada 2023.

Dilahirkan pada 8 Disember 1935 di sebuah perkampungan di Nasrali, Ludhiana, Punjab dalam sebuah keluarga Jatt-Sikh kelas sederhana, beliau dinamakan Dharam Singh Deol.

Dharmendra sebelum ini dimasukkan ke Hospital Breach Candy, Mumbai pada awal November akibat komplikasi kesihatan.

Mendiang bagaimanapun dibenarkan keluar dari hospital pada minggu lalu dan menerima rawatan di rumah.

Artikel Berkaitan:

Upacara memberikan penghormatan terakhir dilaporkan diadakan di pusat krematorium Pawan Hans di Mumbai, namun perincian mengenai masa belum dapat dipastikan.

Hasil perkahwinan mendiang dengan Prakash Kaur pada 1954, dikurniakan empat anak iaitu Sunny Deol, Bobby Deol, Vijeta Deol dan Ajeeta Deol.

Perkahwinan dengan isteri kedua pada 1979 bersama Hema Malini yang juga pelakon veteran dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Esha Deol dan Ahana Deol.

Sunny, Bobby dan Esha merupakan pelakon yang mewarnai industri hiburan Bollywood sejak awal 2000 sehingga kini.

Ringkasan AI

  • Dunia Bollywood kehilangan pelakon veteran Dharmendra pada usia 89 tahun
  • Berita pemergian Dharmendra dikongsikan oleh pengarah terkenal, Karan Johar di Instagram
  • Perdana Menteri India, Narenda Modi mengucapkan takziah dan menyatakan 'maka berakhirlah satu era perfileman'
  • Dharmendra terkenal dengan lakonan dalam pelbagai filem terkenal seperti Sholay dan Phool Aur Patthar
  • Pelakon itu meninggalkan waris termasuk Sunny Deol, Bobby Deol, dan Esha Deol yang juga pelakon terkenal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!