Kervis bawa dunia filem pulang ke Kluang

Kervis (kanan) mahu meraikan pencapaian kerjaya bersama keluarga, guru dan rakan sekolah.
Kervis (kanan) mahu meraikan pencapaian kerjaya bersama keluarga, guru dan rakan sekolah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas membina nama dalam industri perfileman, Dr Kervis Soo kini mahu membawa hasil usahanya kembali ke kampung halaman di Kluang, Johor, sekali gus memperkenalkan bandar itu kepada khalayak lebih luas menerusi layar perak.

Hasrat itu direalisasikan menerusi filem terbaharunya, The Day We Start Again, yang memulakan penggambaran pada 6 Oktober lalu dan dijadualkan menemui penonton pada 2027.

Kervis berkata, kepulangannya ke Kluang bukan sekadar meraikan pencapaian kerjaya, malah peluang menghargai keluarga, guru, rakan sekolah dan kenalan industri yang menyokong perjalanannya selama ini.

“Bagi saya, kepulangan ini bukan sekadar meraikan pencapaian perniagaan, tetapi peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu saya sepanjang perjalanan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan majlis penghargaan di Kluang De Jiao Hui Zi Luan Ge pada 13 November ini, yang turut merangkumi pelancaran pertandingan bakat VYBE Ai SHOW dan pertemuan bersama media.

Filem The Day We Start Again mengangkat tema cabaran kehidupan, perjuangan untuk bangkit semula dan kepentingan hubungan sesama manusia, berdasarkan pengalaman Kervis dalam dunia perniagaan.

Selain berperanan sebagai penerbit yang mempersembahkan filem itu, beliau turut terbabit dalam perancangan keseluruhan dan pembangunan skrip bersama bagi memastikan jalan ceritanya dekat dengan pengalaman penonton.

Antara pelakon yang menjayakan filem itu ialah K Lou atau Lay Kar Heng, Bruce Chiu, Charlene An Yu Chin, Leonard Lee, Yuan Teng, Kyo Chen, Thian Siew Kim dan Olio Tan.

Penggambaran dirancang berlangsung di Kuala Lumpur dan Kluang, manakala Luang Prabang di Laos turut dicadangkan sebagai lokasi tambahan bagi memperluas latar penceritaan.

Artikel Berkaitan:

Pada usia 34 tahun, Kervis mempunyai pengalaman kira-kira 20 tahun dalam keusahawanan internet dan pengurusan komuniti, bermula dengan pembangunan Blue Sky Forum pada 2006 sebelum mengembangkan kerjayanya dalam teknologi, kandungan digital dan perfileman.

Sejak 2023, beliau bersama syarikat berkaitan terbabit dalam enam projek filem menerusi pelbagai peranan, termasuk pelaburan, penerbitan, penyeliaan dan sokongan pengedaran serantau.

Antara karya berkenaan ialah Indera, 'The Missing Child, Blooms of Happiness', Kungfu Juniors dan Mad Mad World, selain filem terbaharunya, The Day We Start Again.

Filem Indera arahan Woo Ming Jin, yang dibintangi Shaheizy Sam dan Azira Shafinaz, mengadakan tayangan perdana dunia di Bucheon International Fantastic Film Festival, Korea Selatan, pada 2024 sebelum ditayangkan di pawagam Malaysia pada 7 Ogos 2025. Azira turut memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik menerusi filem itu.

Bagi memperluas jaringan industri, Kervis turut bekerjasama dengan syarikat produksi Lomo Pictures dalam pembangunan filem dan kandungan, termasuk perancangan menghasilkan 100 drama pendek Malaysia-China yang menggabungkan pelakon, pencipta kandungan dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pada masa sama, beliau mengembangkan VYBE sebagai platform untuk menghubungkan pencipta kandungan dengan peluang pembangunan bakat dan kerjasama komersial dalam industri hiburan digital.

Dilancarkan secara rasmi pada 16 September lalu, platform itu diharap dapat membantu pencipta kandungan mengembangkan bakat daripada siaran langsung dan video pendek kepada bidang muzik, drama pendek serta filem.

Usaha menerusi pertandingan bakat VYBE Ai SHOW turut mempunyai kaitan dengan pengalaman peribadi Kervis yang pernah mengetuai kumpulan muzik menyertai pertandingan bakat Ai Show di Sekolah Menengah Chong Hwa Kluang pada 2009, ketika berusia 17 tahun.

“Tujuh belas tahun lalu, saya sendiri pernah mendapat peluang mengetengahkan bakat menerusi pertandingan itu. Kini, saya berharap platform yang dibangunkan dapat memberikan peluang sama kepada generasi baharu untuk menyerlah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, empat inisiatif yang diumumkannya pada Oktober tahun lalu, meliputi filem, muzik asli, penerbitan buku dan kebajikan, kini menunjukkan kemajuan apabila dua lagu, The Day We Start Again dan After Waking Up, sudah diterbitkan, buku sulungnya dengan judul sama siap dicetak pada 5 Oktober lalu, manakala Festival Kebajikan Malaysia ke-11 berlangsung pada 5 Jun lalu.

Kervis berharap penglibatannya dalam perfileman dan pembangunan kandungan bukan sahaja dapat memperluas kerjaya, malah membuka lebih banyak peluang kepada bakat baharu untuk berkarya serta membawa nama Kluang ke peringkat antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!