AMTTSE catat peningkatan jualan cecah RM12 juta

KUALA LUMPUR – Program Agromarketing Masterclass TikTok Shop Edition (AMTTSE) 2025 mencatatkan peningkatan hampir dua kali ganda berbanding pencapaian tahun lalu dengan nilai jualan mencecah RM12 juta.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, program dengan kerjasama TikTok Shop Malaysia selama lima bulan bermula Julai lalu itu disertai 182 usahawan daripada 91 syarikat, dengan peningkatan jualan sebanyak 94 peratus berbanding RM6.2 juta pada 2024.
Beliau berkata, peningkatan itu didorong keberkesanan strategi pemasaran digital, khususnya melalui sesi live streaming yang diadakan sepanjang program tersebut.
“Sebanyak 15 syarikat kategori segar dan sejuk beku berjaya merekodkan nilai jualan RM47,000 (USD 10,600), manakala lapan syarikat Orang Kurang Upaya (OKU) pula mencapai jualan berjumlah RM286,000 dengan lebih 1.3 juta tontonan siaran langsung secara keseluruhan.

“Ada syarikat yang lebih daripada tiga kali ganda jualan mereka meningkat bila terlibat dalam live streaming, dengan bantuan TikTok Shop. Bagi pihak FAMA, ini satu anjakan yang sangat tinggi telah dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Penyampaian Anugerah Grand Final AMTTSE 2025 di sebuah hotel di sini pada Ahad. Turut hadir Pengarah Perhubungan Strategik TikTok Shop, Nur Azre Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, kejayaan program itu membuktikan kemampuan usahawan agro Malaysia bersaing dalam ekonomi digital global, selain menyokong aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dalam membangunkan usahawan digital berimpak tinggi.
Program AMTTSE 2025 dilaksanakan melalui empat fasa utama merangkumi latihan intensif Junior dan Senior, pemantauan prestasi peserta, pertandingan live streaming serta penganugerahan Grand Final yang meraikan 11 kategori termasuk Usahawan Baharu Terbaik, Usahawan OKU Terbaik dan Usahawan Terbaik Keseluruhan.

Dalam pada itu, sebanyak 12 syarikat terbaik keseluruhan diumum menyertai Lawatan Pembelajaran Global ke Shanghai, China pada Disember ini sempena sambutan Ulang Tahun Ke-60 FAMA untuk mempelajari teknologi live commerce, penciptaan kandungan dan model inovasi digital antarabangsa.
Tambahnya, pemilihan TikTok Shop sebagai platform utama adalah bertepatan dengan jumlah lebih 17 juta pengguna aktif di Malaysia, sekali gus menyediakan ruang promosi luas, sokongan teknikal dan ciri interaktif yang mampu meningkatkan keterlihatan serta jualan produk tempatan.
Pada majlis penyampaian anugerah itu, bekas jurutera yang juga usahawan OKU berasal dari Kelantan, Amir Mohsin Mohd Bahrudin, 36 menerusi jenama ‘Dapur Pak Amir’ memenangi tiga anugerah utama iaitu Usahawan Terbaik Keseluruhan, Usahawan OKU Terbaik dan Usahawan Kategori Makanan Terbaik (Intermediate).
“Saya terlibat dalam kemalangan pada 2018 dan selepas bangun daripada koma selama enam bulan, saya mula memikirkan tentang kelangsungan hidup dan berpindah ke Puncak Alam bagi memulakan perniagaan nasi lemak.

“Saya tidak sangka ia mengubah nasib hidup saya yang kemudiannya memulakan perniagaan sambal secara dalam talian menerusi TikTok Shop,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.
Berkat bantuan daripada isteri dan lima kakitangannya, beliau kini mampu menjana pendapatan lima angka sebulan.
Antara produk Dapur Pak Amir termasuklah sambal nasi lemak, sambal tempoyak, sambal bilis petai dan sambal talang masin yang dihasilkan dari kilang sendiri di Pasir Tumboh, Kelantan.
Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Hasdey Puncak Enterprise, Siti Aisyah Sulaiman,38, berkata, program AMTTSE membantunya mendalami ilmu perniagaan digital, sekali gus merancakkan perniagaan sayur fucuk keluarganya.
“Kami tunjuk menerusi penstriman langsung bagaimana penghasilan sekeping (fucuk) itu memakan masa 15 ke 20 minit dan proses itu bermula masak air soya sehingga ia kering.

“Sebelum ini kalau orang was-was nak makan, kami tunjuk kepada semua orang bagai mana proses pembuatan dari A hingga Z,” katanya.
Pendedahan teknik penjualan atas talian bantuan FAMA, hasil jualan produknya meningkat daripada RM700 sebulan pada Mei kepada RM45,000 pada bulan Ogos.
Perkembangan cemerlang itu telah menjadikan syarikatnya sebagai salah satu daripada 12 syarikat yang terpilih menyertai Lawatan Pembelajaran Global di Shanghai, China Disember ini.
Senarai pemenang Anugerah AMTTSE 2025
Anugerah Usahawan Baharu Terbaik
Foodzyla Shop (@foodzyla shop)
Anugerah Usahawan Kategori Makanan Terbaik
Huzaifah At Tamimi Enterprise (@dkhaulah kek lapis HQ)
Anugerah Kategori Bukan Makanan Terbaik
Azura Kay Ventures (@beauties station)
Anugerah Usahawan Kategori Segar dan Sejuk Beku Terbaik
Rozeriya Enterprise (@rozeriya mart)
Anugerah Usahawan Terbaik Keseluruhan
Huzaifah At Tamimi Enterprise (@dkhaulah kek lapis HQ)
Anugerah Usahawan Kategori Makanan Terbaik (Intermediate)
AMB Pacific Resources (@dapur pak amir)
Anugerah Usahawan Kategori Bukan Makanan Terbaik (Intermediate)
Nurezqi Enterprise (@nurezqi plant care)
Anugerah Usahawan Kategori Segar dan Sejuk Beku Terbaik (Intermediate)
Teratak Maju Trading (@corndog anak ramai HQ)
Anugerah Usahawan OKU Terbaik (Intermediate)
AMB Pacific Resources (@dapur pak amir)
Anugerah Usahawan Terbaik Keseluruhan (Intermediate)
AMB Pacific Resources (@dapur pak amir)
Anugerah Usahawan Aspirasi
Anis Cafe Enterprise (@abang jas)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


