Bengkel 'Aokmer Usahawan' bantu lonjak jenama produk PKS Lepar

KUANTAN - Bengkel keusahawanan intensif 'Aokmer Usahawan' peluang keemasan bagi usahawan kecil dari kawasan Lepar di sini untuk mempamerkan jenama dan produk mereka ke pasaran yang lebih luas.
Latihan keusahawanan anjuran bersama Penyelaras Dewan Negeri Kawasan Lepar dan Yayasan Pahang itu disertai 40 pemilik perniagaan kecil dari kawasan tersebut.
Bengkel selama tiga hari pada 18 hingga 20 November lalu menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Methods, Zulkifli Ahmad, sebagai jurulatih utama selain penceramah jemputan dari Tekun Nasional dan Pasar Sera.
Program itu memberi penekanan khusus terhadap penjenamaan, pemasaran digital dan strategi penembusan pasaran bagi melonjak pasaran produk para peserta.
Pengasas Bersama Pasar Sera, Nadia Rustham turut hadir berkongsi ilmu mengenai konsep pasaran kreatif, jangkaan komersial daripada pasaran kreatif terhadap vendor dan bagaimana proses tersebut dapat membantu kedudukan jenama dalam pasaran negeri Pahang.
Nadia berkata, hasil daripada program itu, seramai 10 vendor terpilih dari Lepar akan diberikan peluang untuk mempamerkan jenama dan produk mereka di acara Pasar Sera yang akan berlangsung di Taman Tasik Paya Besar pada 28 hingga 30 November ini.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Negeri Kawasan Lepar, Mustaqim Zakaria berkata, melalui latihan dan pendedahan yang diberikan, akan memperkasakan perniagaan para peserta sebagai sebuah jenama yang kukuh di negeri ini.
Pemangku Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Pahang, Nur Fadhlin Jazilah Johan pula kagum melihat kesungguhan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan para usahawan kecil dari Lepar itu.
Katanya, ada peserta sanggup menutup perniagaan mereka selama tiga hari semata-mata untuk
menghadiri bengkel itu demi menimba ilmu dan merebut peluang untuk ditempatkan sebagai vendor Pasar Sera.
Ringkasan AI
- Bengkel keusahawanan 'Aokmer Usahawan' adalah peluang bagi usahawan kecil dari Lepar untuk memperluas pasaran mereka
- Anjuran bersama Penyelaras Dewan Negeri Kawasan Lepar dan Yayasan Pahang dengan penyertaan 40 pemilik perniagaan
- Bengkel tiga hari itu menekankan penjenamaan, pemasaran digital dan strategi pasaran
- Seramai 10 vendor dari Lepar akan dapat mempamerkan produk mereka di Pasar Sera
- Program bertujuan memperkasakan usahawan sebagai jenama kukuh di negeri Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

