Ekuinas rai 19 usahawan PKS Bumiputera tamat Program ILTIZAM Catalyst 2024

(Barisan belakang, tujuh dari kiri ke kanan) Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar; Pengerusi, Ekuinas, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan dan Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa CSR Ekuinas, Datuk Abdul Mutalib Alias bersama-sama kohort ILTIZAM Catalyst 2024.
(Barisan belakang, tujuh dari kiri ke kanan) Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar; Pengerusi, Ekuinas, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan dan Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa CSR Ekuinas, Datuk Abdul Mutalib Alias bersama-sama kohort ILTIZAM Catalyst 2024.
A
A
A

EKUITI Nasional Berhad (Ekuinas) meraikan pencapaian 19 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera daripada enam sektor berbeza yang telah menamatkan Program ILTIZAM Catalyst 2024.

Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, sepanjang sembilan bulan, syarikat-syarikat ini melalui transformasi berstruktur dengan fokus kepada pengukuhan asas perniagaan melalui empat teras utama iaitu pengurusan kewangan dan pematuhan, penjenamaan dan pemasaran digital, adaptasi teknologi serta pembangunan kepimpinan.

“ILTIZAM Catalyst membina ketajaman strategi, mengasah bakat, memperkukuh operasi dan tadbir urus, serta mendorong inovasi dalam daya fikir.

“Ia bukan sekadar program bimbingan tetapi sebuah ekosistem menyeluruh yang menyediakan ilmu, jaringan, keyakinan dan keberanian untuk mencipta peluang baharu,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil bagi peserta program berkenaan.

Menurut Shahril Ridza, Ekuinas telah menyediakan sokongan berbentuk bantuan teknikal bernilai lebih RM70,000 bagi setiap syarikat yang terlibat dalam program pemerkasaan ILTIZAM Catalyst 2024 ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, asas perniagaan yang kukuh adalah prasyarat kepada pertumbuhan strategik dan mampan.

“Tanpa asas ini, modal yang besar sekalipun tidak menjamin kelangsungan atau keupayaan syarikat untuk bertahan dan bersaing.

“Sejak diperkenalkan pada 2022, ILTIZAM Catalyst telah membimbing 57 syarikat dari pelbagai sektor termasuk pendidikan, F&B, pembuatan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan IT dan perkhidmatan lain.

“Impak yang kita bina bukan sahaja dirasai oleh syarikat-syarikat ini, tetapi turut memberi kesan positif kepada komuniti, ekosistem usahawan tempatan, industri dan ekonomi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan pada 2023, ILTIZAM Catalyst 2024 mencatatkan impak yang memberangsangkan.

“95 peratus syarikat lebih jelas tentang hala tuju perniagaan, 89 peratus meningkatkan kemampuan keusahawanan dan kepimpinan, 79 peratus mencatatkan peningkatan kehadiran jenama dan pasaran, manakala 68 peratus mencatatkan peningkatan keuntungan produk,” katanya.

Dalam pada itu, Shahril Ridza menambah, pencapaian ini sejajar dengan agenda nasional dan inisiatif GEAR-uP di bawah teras Raising the Floor.

Ia menumpukan kepada peningkatan kemahiran, pembinaan kecekapan serta latihan semula bakat usahawan supaya mampu meningkatkan kapasiti, meraih peluang pembiayaan atau modal yang ada di pasaran, dan memacu pertumbuhan mampan.

“Ekuinas akan kekal fokus dalam menyampaikan impak berskala nasional secara lebih strategik dan komited dalam usaha membangunkan generasi usahawan Bumiputera yang berimpak tinggi,” katanya.

Untuk rekod, pada tahun 2024, Ekuinas telah menyalurkan sejumlah RM15.3 juta di bawah ILTIZAM yang disalurkan kepada inisiatif keusahawanan, pendidikan dan pembangunan komuniti, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 17,000 individu, keluarga dan perniagaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, RM5 juta telah disalurkan kepada program keusahawanan seperti ILTIZAM Catalyst dan ILTIZAM Advance.

Sejak penubuhannya, ILTIZAM telah melabur lebih RM115 juta bagi menyokong kemajuan sosio-ekonomi di seluruh Malaysia.

Permohonan untuk Program ILTIZAM Catalyst tahun 2026 akan dibuka pada 16 Oktober 2025.

Antara syarat kelayakan, PKS Bumiputera perlu mempunyai rekod keuntungan sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut dan pendapatan tahunan antara RM300,000 hingga RM1 juta.

Usahawan yang komited untuk melonjakkan perniagaan mereka dialu-alukan memohon. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://iltizam-catalyst.ekuinas.com.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!