[VIDEO] Pura-pura jadi pelanggan elak dicekup imigresen

A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebahagian warga asing bertempiaran lari dan ada yang menyorok di premis perniagaaan, malah ada yang berpura-pura menjadi pelanggan bagi mengelak operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sebuah pusat beli-belah barangan borong di ibu kota pada Isnin.

Dalam operasi yang bermula jam 12 hingga 1.45 tengah hari itu, segelintir warga asing turut dikesan cuba meloloskan diri melalui laluan kecemasan serta menggunakan lif sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.

Operasi JIM Kuala Lumpur itu dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur (KPDNKL) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki warga Pakistan, Munir, 47, ditahan selepas menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang didapati tamat tempoh sejak Oktober tahun lalu.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur Jalan Duta untuk siasatan lanjut.
Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur Jalan Duta untuk siasatan lanjut.

Munir mendakwa dia sudah enam tahun tinggal di Malaysia bersama lapan ahli keluarga lain di Setapak.

"Tolong lepaskan saya, saya ada dokumen ini (kad UNHCR), keluarga sedang sakit. Saya datang sini mahu beli beg untuk ke Kanada bulan depan," katanya.

Turut ditahan, seorang lelaki warga Myanmar yang dikenali sebagai Kamid, 22, kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen sah tinggal tinggal di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Pasport dan visa saya tinggal di rumah, lupa bawa. Saya datang sini mahu jalan-jalan sahaja," katanya.

Dia mengaku baru tiga bulan berada di Malaysia selepas membayar lebih RM6,000 kepada ejen dan sehingga kini masih menganggur.

Sementara itu, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 205 individu diperiksa dalam operasi itu.

Antara warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu di pusat beli-belah barangan borong di Kuala Lumpur pada Isnin.
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu di pusat beli-belah barangan borong di Kuala Lumpur pada Isnin.

"Daripada jumlah itu, seramai 124 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 20 hingga 59 tahun ditahan membabitkan warga Pakistan, Bangladesh, Myanmar, India, Indonesia dan Thailand," katanya

Menurut beliau, operasi dijalankan susulan aduan mengenai perniagaan tanpa lesen, pekerja asing, penyalahgunaan pas serta kehadiran warga asing disyaki PATI.

“Kesalahan dikenal pasti meliputi tiada dokumen sah, tiada pas perjalanan dan tinggal lebih masa. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan pada Isnin.

Beliau berkata, DBKL turut mengeluarkan enam kompaun pelbagai kesalahan selain notis penutupan premis kerana berniaga tanpa lesen dan menggaji warga asing.

“KPDN pula mengeluarkan tujuh kompaun kerana kesalahan penandaan harga dengan nilai keseluruhan RM6,500,” katanya.

Selain itu, katanya, SSM turut membuat pemeriksaan ke atas 115 premis melibatkan 30 entiti syarikat dan 85 perniagaan dengan 25 kesalahan direkodkan, yang boleh membawa kompaun antara RM500 hingga RM30,000.

"Kesemua warga asing yang ditahan akan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur Jalan Duta untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Warga asing bertempiaran lari dan berpura-pura menjadi pelanggan untuk mengaburi operasi Jabatan Imigresen Malaysia di pusat beli-belah
  • Operasi tersebut melibatkan kerjasama SSM, KPDNKL, dan DBKL
  • Seorang lelaki Pakistan ditahan kerana menunjukkan kad UNHCR tamat tempoh
  • Seramai 124 pendatang asing tanpa izin dari pelbagai negara ditahan
  • Operasi ini dijalankan berikutan aduan mengenai perniagaan tanpa lesen dan pekerja asing

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!