Melaka benar tangguh bayaran bil air, sediakan kit makanan

Kerajaan negeri sediakan 1,000 kit makanan dan penangguhan sebulan bayaran bil air domestik.
Kerajaan negeri sediakan 1,000 kit makanan dan penangguhan sebulan bayaran bil air domestik.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka mengumumkan dua inisiatif tambahan bagi mengurangkan beban rakyat negeri itu yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menterinya, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri bersetuju memperkenalkan Bantuan Khas Kit Makanan dan penangguhan bil air membabitkan bayaran bil bagi bulan Mac untuk semua pengguna domestik negeri ini.

Menurutnya, bantuan secara one-off kit makanan yang mengandungi beras, minyak masak, tepung, biskut kering, gula serta sardin itu akan diuruskan Pejabat Tanah dan Daerah masing-masing.

"Permohonan boleh dibuat melalui dalam talian atau secara terus di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

"Kelulusan permohonan tertakluk kepada syarat ditetapkan iaitu pemohon mestilah warganegara Malaysia berpendapatan RM3,000 ke bawah dan bekerja sendiri mahupun gaji harian.

"Sebagai permulaan kira-kira 1,000 kit makanan akan diedarkan kepada penerima yang layak di kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung minggu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penangguhan bil air untuk bulan ini dijangka akan dapat memberi manfaat kepada 260,000 isi rumah.

Katanya, orang ramai terutama syarikat korporat atau firma swasta dipelawa memberikan sumbangan kepada kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban rakyat akibat wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan boleh disalurkan melalui cek atau Electronic Fund Transfer (EFT) kepada Bendahari Negeri – akaun Maybank Islamic 554026000401, Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Tabung Bencana Negeri akaun Maybank Islamic 554110500466.

"Penyumbang diminta memastikan bayaran sumbangan yang dibuat seperti berikut: COVID19/namapenyumbang/nombor telefon.

"Bendahari Negeri akan mengeluarkan resit rasmi atas sumbangan tersebut dan penyumbang layak mendapat potongan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Notifikasi sumbangan juga boleh diemelkan kepada sumb_covid19@melaka.gov.my bagi tujuan pengeluaran resit," katanya.