'Cadang Nurul Izzah sebagai MB Selangor hanya pilihan' - Amirudin

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa cadangan menamakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sebagai calon Menteri Besar hanyalah satu pilihan alternatif dan masih tertakluk kepada perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau berkata, cadangan tersebut bukan muktamad dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor sedia ada juga layak untuk dipertimbangkan bagi jawatan berkenaan.
“Ini hanya cadangan saya. Kalau diterima, Alhamdulillah. Kalau tidak, kita cari alternatif lain. Tiada masalah.
“Setakat ini, semua Exco kita layak, antaranya (Mohd) Najwan (Halimi), (Dr. Mohamad) Fahmi (Ngah), (Datuk) Borhan (Aman Shah) dan (Datuk Ir.) Izham Hashim,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 di sini pada Isnin.
Amirudin turut berseloroh mengenai kontroversi yang timbul susulan kenyataan tersebut yang menurutnya berkait dengan penggal akan datang.
“Sebenarnya cadangan itu untuk penggal akan datang, tetapi ramai orang tengok tajuk sahaja dah terus melompat. Saya pun tak faham,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sebarang perancangan berkenaan perubahan jawatan penting perlu dilakukan secara terancang dan bukan tergempar.
Bagaimanapun katanya, Kerajaan Selangor pada masa ini perlu memberi tumpuan kepada mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), yang merupakan syarat utama sebelum sebarang perbincangan mengenai barisan pentadbiran penggal seterusnya dibuat.
“Saya antara yang sudah hampir menamatkan dua penggal dan menghormati dasar itu walaupun tidak dituliskan.
“Mungkin ada cabaran baharu ataupun peluang baharu di peringkat yang lain. Tapi itu rezeki masing-masing kerana masa depan memerlukan perancangan jika mahu buat perubahan. Namun syaratnya kena menang pilihan raya dahulu,” jelasnya.
Terdahulu, Amirudin dalam program audio siar Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan baru-baru ini berkata, cadangan tersebut pernah disuarakan kepada Nurul Izzah dan terpulang kepadanya untuk menerima atau tidak.
Amirudin menjawab soalan Khairy mengenai kemungkinan Nurul Izzah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya akan datang, sekali gus diangkat sebagai Menteri Besar Selangor.
Ringkasan AI
- Cadangan menamakan Nurul Izzah Anwar sebagai calon Menteri Besar Selangor adalah pilihan alternatif dan masih perlu perkenan Sultan Selangor
- Cadangan tersebut bukan muktamad dan semua Exco Selangor layak dipertimbangkan
- Cadangan itu disuarakan untuk penggal akan datang dan timbul kontroversi hanya kerana tajuk
- Perancangan perubahan jawatan penting harus terancang dan tidak boleh tergempar, dengan syarat utama adalah kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri
- Cadangan itu pernah disuarakan kepada Nurul Izzah dan terpulang kepada beliau untuk menerima atau tidak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

