Nurul Izzah dedah kepulangan tokoh teknologi, pelaburan besar menanti graduan

SHAH ALAM – Syarikat teknologi ciptaan anak jati Sekinchan, MaiStorage, menawarkan gaji permulaan sebanyak RM6,000 kepada graduan baharu sebagai sebahagian usaha menarik dan mengekalkan bakat tempatan dalam industri teknologi tinggi negara.
Perkara itu didedahkan oleh Penasihat Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), Nurul Izzah Anwar yang berkongsi kisah kepulangan Datuk Pua Khien Seng, individu yang mencipta cip pemacu kilat USB pertama dunia untuk menabur bakti kepada tanah air.
Menurutnya, Khien Seng bukan sahaja berazam menjadikan Malaysia sebagai hab reka cipta mikrocip, malah sanggup menawarkan imbuhan tinggi termasuk gaji lima angka kepada jurutera berpengalaman bagi menyaingi tawaran dari luar negara.
"Inilah kisah seorang anak bangsa yang pulang membawa harapan. Harapan untuk menjadikan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi tetapi pencipta masa depan.
“Sebuah impian yang bermula di Sekinchan dan kini sedang membina sejarah untuk negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Dalam pada itu, Nurul Izzah yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menyifatkan usaha tersebut sebagai simbolik kepada kejayaan membawa pulang seorang tokoh teknologi global ke Malaysia yang sudi melatih jurutera tempatan demi masa depan negara.
Menurutnya, ia bukan perjalanan yang mudah, namun membuahkan hasil apabila Khien Seng membangunkan syarikat reka cipta mikrocip dan teknologi storan data canggih itu di Malaysia, dua bulan lalu.
"Namun ramai yang tidak tahu, pada tahun 1999, Pua pernah cuba membawa visinya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama reka bentuk mikrocip di dunia.
“Tetapi impiannya terhalang oleh birokrasi, dasar terbatas, serta ekosistem yang belum matang dan bersedia. Jadi, beliau memilih untuk ke Taiwan, di mana ideanya diberi peluang untuk berkembang.
“Kini dia kembali dan membawa bersama pelaburan RM100 juta serta pemindahan teknologi bernilai RM1 bilion,” jelasnya.
Nurul Izzah memberitahu, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk SIDEC dalam menjayakan visi menjadikan Selangor sebagai Lembah Silikon Malaysia.
“Saya dijemput ke pejabat baharu MaiStorage dua hari lalu. Pua tersenyum dan berkata, ‘Saya telah tunaikan janji saya. Terima kasih Puan Izzah kerana mempercayai saya dan membimbing ketika saya memerlukan bantuan,’” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
