'Orang tidak undi poster, bendera, tetapi mereka undi calon pada kertas' - Calon DUN Liawan

KENINGAU - Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub, tidak melihat kekurangan poster dan bendera sebagai isu besar dalam kempen.
Lebih mesra dikenali sebagai Datuk Banand, beliau menegaskan bahawa kurangnya bahan kempen fizikal tidak bermakna calon tersebut tidak wujud pada kertas undi, dan pengundi tetap dapat mengenali serta membuat pilihan dengan tepat semasa hari pengundian Sabtu ini.
"Saya rasa orang tidak undi poster. Orang tidak undi bendera. Ada juga dulu saya pernah nampak benderanya, tidak terlalu banyak, tapi boleh menang. Macam calon bebas, dulu pernah menang tanpa banyak bendera, tanpa banyak poster.
"Tapi masih boleh menang, jadi yang penting bukan poster dan bendera, yang penting adalah calon. Itu terpulang kepada pengundi untuk menilai, kerana mereka bukan menilai bendera atau poster tetapi mereka menilai apa yang dicalon," katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa kempen di Kampung Contoh, di sini pada Ahad.
Sementara itu, ditanya mengenai pengagihan rumah mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan GRS, beliau memberi jaminan akan meneruskan kaedah agihan yang adil dan telus kepada pengundi di kawasannya nanti.
"Saya akan teruskan dengan apa yang saya sudah buat sebelum ini, pengagihan rumah-rumah SMJ itu, kita akan agih-agihkan seadil-adilnya dan semua kaum dapat merasai.
"Bukan hanya dari segi kaum etnik atau agama tapi juga saya akan bagi kuota, saya akan tumpukan kepada anak-anak muda. Kerana ramai lagi anak muda amat memerlukan rumah SMJ ini.
"Apabila saya menjadi wakil raya pada tahun 2020, memang banyak kekurangan, bukan saja dari segi rumah, tapi banyak juga keperluan yang mereka perlukan," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai situasi kempen pada PRN kali ini yang lebih meriah dengan persaingan sengit 10 penjuru, beliau menyifatkan ia adalah gambaran negara yang mengamalkan demokrasi.
"10 penjuru tapi kita ada 32,661 pengundi. Daripada 10 penjuru kita bagi-bagi, tengok saja siapa yang dapat lebih. Ini kita negara demokrasi. Kita tidak boleh halang siapa-siapa yang bertanding. Kita bertanding dengan sihat," ujarnya.
Ringkasan AI
- Calon GRS Datuk Annuar Ayub tidak lihat kurang poster sebagai isu dalam kempen
- Datuk Banand yakin pengundi boleh mengenali dan membuat pilihan tepat tanpa bahan kempen fizikal
- Menurutnya keberhasilan calon bukan bergantung pada poster atau bendera tetapi pada kualiti calon
- Datuk Banand berjanji akan meneruskan pengagihan rumah mesra SMJ secara adil dan telus
- Situasi kempen PRN kali ini lebih meriah dan dianggap sebagai gambaran negara demokrasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
