KRU buktikan kuasa legenda dalam pementasan finale penuh emosi

Momen KRU ke tengah tempat duduk peminat menggamit memori tersendiri. Foto: Icon Entertainment
Momen KRU ke tengah tempat duduk peminat menggamit memori tersendiri. Foto: Icon Entertainment
A
A
A

SELEPAS mencipta fenomena melalui empat malam berturut-turut Konsert GenKRU pada Mei lalu, trio adik-beradik KRU, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry dan Edry kembali menghangatkan industri dengan penganjuran genKRU The Finale: One More Time di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November lalu.

Konsert kelima yang dianjurkan bersama Icon Entertainment itu sekali lagi membuka lembaran baharu dalam sejarah muzik tanah air selepas empat persembahan terdahulu di Axiata Arena berjaya mencatat rekod tersendiri.

Permintaan luar biasa daripada peminat menjadi faktor utama mengapa kumpulan berpengaruh itu dipanggil semula untuk tampil dalam pentas berskala besar.

Lebih 12,000 peminat membanjiri Stadium Hoki Bukit Jalil dengan tema pakaian era 90-an, menjadikan suasana sekitar venue seperti pesta nostalgia yang menggabungkan generasi lama dan baharu.

Sejak pintu dibuka, penonton menunjukkan keterujaan terhadap malam yang dijangka sarat memori dan momentum.

Tepat jam 8.45 malam, sorakan bergema apabila tiga figura itu muncul dan membuka persembahan dengan Mengerti diikuti medley Fobia serta Salah Siapa.

Kehadiran Juliana Banos sememangnya dinantikan ramai.
Kehadiran Juliana Banos sememangnya dinantikan ramai.

Tenaga yang dipersembahkan sejak awal membuatkan penonton teruja seolah-olah menyaksikan KRU pada era kemuncak mereka.

Artikel Berkaitan:

Persembahan kemudian diteruskan dengan deretan lagu yang membawa penonton meneroka lebih tiga dekad karya, antaranya ialah Awas, Mengerti, Kena Marah Pun Tak Kisah, Voodoo, Sampai dan Intifada.

Setiap bait lagu tersebut disambut dengan nyanyian penuh semangat daripada peminat yang jelas masih mengingati setiap lirik.

Suasana semakin memuncak apabila mereka mempersembahkan Sayang, Oh La La, Emilia, Apa Saja dan Negatif.

Nostalgia era awal 2000-an kembali terasa apabila kumpulan itu menyampaikan One More Time serta medley Di Dalam Dilema, Sayang dan Gerenti Beres.

Kehadiran Elite menambah nostalgia kegemilangan KRU di era 90-an.
Kehadiran Elite menambah nostalgia kegemilangan KRU di era 90-an.

Selepas itu, mereka mengalunkan Janji Tinggal Janji dan Sehidup Semati sebelum menggabungkan rangkaian lagu rancak seperti Freaky G, Dari Metropolitan, Go KRU, Suara Setan dan Remaja Selamanya yang membuat seluruh stadium bergema.

Kemunculan barisan artis undangan menjadi antara elemen kejutan paling mendapat sorakan penonton.

Juliana Banos dan Elite mengembalikan aura 90-an, manakala Adam AF, Leona dan Datuk Vida menambah warna baharu dalam pementasan itu.

Penonton kemudian dihiburkan dengan Jangan Lafazkan dan Tiga Kata Untukmu, di mana tiga beradik itu turun ke pentas mini.

Namun suasana malam itu turut menyentuh hati ramai apabila Yusry kelihatan sebak sebaik melihat kehadiran puluhan ribu peminat yang memenuhi ruang stadium, seolah-olah memberi peringatan bahawa perjalanan seni mereka masih dekat di hati penonton.

Kemunculan Leona dan Datuk Vida ketika lagu Gerenti Beres menggamatkan konsert malam itu.
Kemunculan Leona dan Datuk Vida ketika lagu Gerenti Beres menggamatkan konsert malam itu.

Edry juga tidak dapat menahan emosi ketika berkongsi bahawa bapa mereka, Abdul Halim Kamal, 84, tidak dapat turut serta menyaksikan persembahan kerana kurang sihat, menjadikan pementasan finale itu terasa kurang lengkap.

Malam itu mencapai kemuncak apabila stadium berdiri serentak saat KRU menyampaikan The Way We Jam, Dekat Padamu, Fanatik dan Terhangat Di Pasaran.

Walaupun konsert berlangsung hampir tiga jam, tenaga tiga adik-beradik itu tidak goyah, malah seakan dibalas dengan sorakan padu peminat yang tidak mahu malam tersebut berakhir.

KRU sekali lagi membuktikan bahawa meskipun usia mereka dalam industri mencecah lebih 33 tahun, kehadiran mereka masih relevan, masih berbisa dan terus mampu menguasai pentas berskala besar dengan mutu produksi bertaraf antarabangsa.

Ringkasan AI

  • KRU mengadakan konsert besar 'genKRU The Finale: One More Time' di Stadium Hoki Bukit Jalil yang dihadiri lebih dari 12,000 peminat
  • Peminat berpakaian tema 90-an, mencipta suasana nostalgia yang menggabungkan generasi lama dan baharu
  • Penampilan khas artis undangan seperti Juliana Banos, Elite, Adam AF, Leona dan Datuk Vida menambah warna
  • Konsert mencapai kemuncak dengan persembahan lagu-lagu hit dan sorakan padu dari penonton yang tidak mahu malam itu berakhir
  • KRU membuktikan kekal relevan dalam industri muzik dengan pengalaman lebih 33 tahun, mampu menguasai pentas dengan produksi bertaraf antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!