Slogan masih laku di hati pengundi?

Hampir semua parti yang melaungkan slogan indah sudah pernah diberi peluang memerintah, tetapi rekod tidak selalu mencerminkan retorik. Gambar hiasan
Hampir semua parti yang melaungkan slogan indah sudah pernah diberi peluang memerintah, tetapi rekod tidak selalu mencerminkan retorik. Gambar hiasan
A
A
A

DALAM setiap kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, parti-parti politik kembali muncul dengan slogan memukau.

PRN Sabah 2025 sekali lagi memperlihatkan pesta kata-kata manis misalnya 'Selamatkan Sabah', 'Rumah Kita, Kita Jaga', 'Bikin Balik Sabah', 'Kasi Bagus Sabah'.

Semuanya tampil dengan bahasa indah, seolah-olah menjanjikan sebuah negeri bakal bangkit luar biasa. Namun, sejauh mana slogan-slogan ini diyakini rakyat, khususnya pengundi muda pertama kali membuang undi?

Hakikatnya, hampir semua parti utama bertanding kali ini pernah menerajui kerajaan negeri secara langsung atau melalui gabungan. Dan di situlah punca skeptisisme rakyat, kerana rekod pemerintahan sering tidak sekukuh slogan.

Sejarah ringkas

Sejak 1967, Sabah melalui lebih 10 pertukaran kerajaan termasuk beberapa kejatuhan kerajaan melalui lompat parti. Pada 2018, kerajaan BN tumbang selepas lebih 20 tahun memerintah.

Kerajaan Warisan pula naik, namun bertahan dua tahun sebelum digulingkan Ahli Dewan Undangan Negeri berpaling tadah.

Kemudian muncul Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 2020 dan kini Sabah kembali menuju PRN dengan landskap politik terus berubah dan tidak pernah benar-benar stabil.

Rekod sejarah ini membentuk satu persepsi penting Sabah sentiasa terperangkap dalam kitaran harapan dan kekecewaan, selain slogan politik yang sering menjadi pembungkus kepada janji-janji gagal ditunaikan.

Artikel Berkaitan:

Slogan GRS 'Rumah Kita, Kita Jaga' membawa mesej kebersamaan, tetapi isu asas seperti air, infrastruktur luar bandar, dan ketidaktentuan politik sejak 2020 masih menjadi rungutan.

Jika 'rumah' benar-benar dijaga, mengapa masalah struktur kekal membelenggu?

Warisan tampil slogan segar 'Selamatkan Sabah', namun semasa menerajui kerajaan, ia turut terpalit kritikan kelembapan pentadbiran dan ketidakstabilan politik, di samping isu jenayah rasuah dikaitkan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas menteri daripada parti itu, turut menjejaskan persepsi.

BN kembali dengan slogan 'Bikin Balik Sabah', namun rakyat Sabah tidak pernah lupa era pentadbiran BN dikaitkan politik patronage serta kelemahan pembaharuan ekonomi dan sosial.

PN dan Bersatu Sabah pula melaungkan 'Kasi Bagus Sabah'. Namun rakyat melihat parti ini juga pernah berada dalam blok kerajaan, maka persoalan timbul: jika benar ingin kasi bagus, mengapa tidak berlaku sewaktu peluang kuasa diberikan?

STAR walaupun membawa slogan penuh semangat 'Kalau bukan kita, siapa lagi?', tetap sebahagian GRS tidak dapat lari kritikan prestasi kerajaan.

Realitinya, hampir semua parti yang melaungkan slogan indah sudah pernah diberi peluang memerintah, tetapi rekod tidak selalu mencerminkan retorik.

Penilaian pengundi muda

Mengikut anggaran Suruhanjaya Pilihan Raya, hampir 30 peratus pengundi Sabah pada PRN kali ini ialah pengundi berusia 18 hingga 29 tahun, dengan sebahagiannya pengundi kali pertama.

Generasi inilah yang menjadi penentu sama ada slogan-slogan parti masih relevan atau sekadar hiasan politik.

Bagi generasi ini, slogan bukan lagi alat propaganda yang kuat. Apa yang mereka mahu ialah konsistensi rekod, bukti integriti dan komitmen terhadap dasar-dasar realistik yang boleh menyelesaikan masalah hidup mereka hari ini, bukan janji abstrak. Lalu, sejauh mana slogan masih berfungsi?

Jawapannya, slogan masih penting sebagai identiti kempen tetapi fungsinya semakin terhad. Era di mana satu slogan mampu mempengaruhi gelombang besar pengundi Sabah sudah berlalu.

Di Sabah, di mana pergolakan politik berulang terlalu banyak, rakyat kini mahukan kerajaan stabil lebih daripada slogan di samping pemimpin konsisten lebih daripada hanya pandai berpidato.

Ketidakstabilan politik sejak 2018 menjadikan pengundi lebih berhati-hati. Mereka sedar kata-kata indah bukan jaminan pemerintahan yang baik.

Justeru, PRN Sabah 2025 mungkin pilihan raya paling penting dalam dua dekad kerana menentukan sama ada negeri itu terus terperangkap dalam kitaran retorik atau akhirnya bergerak ke arah kestabilan sebenar.

Slogan-slogan parti politik kali ini, walaupun indah, tidak lagi dapat menyembunyikan rekod silam. Pertimbangan pengundi terutamanya anak muda bukan pada kata-kata, tetapi pencapaian.

Jika parti-parti ini mahu slogan mereka kembali berkuasa, mereka memerlukan sesuatu yang lebih kukuh daripada retorik: iaitu bukti.

Sabah sudah terlalu lama menunggu untuk melihat kerajaan yang benar-benar bekerja, bukan hanya pandai berjanji. Dan pada PRN kali ini, mungkin inilah kali pertama slogan bukan lagi menjadi penentu kemenangan.

* Suwadi Guliling Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!