Tiga pelan bantu pekerja Gig bakal dilaksana - MyGiG

SANDAKAN - Kuota Subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) tidak mencukupi antara tiga isu utama yang dibangkitkan akar umbi ketika sesi libat urus bersama Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG) di Sabah pada Ahad.
Setiausaha Agung MyGiG, Fairuz Jamaludin berkata, kuota 300 liter BUDI95 didakwa tidak selari dengan jarak perjalanan harian pekerja gig sepenuh masa.
“Mereka bergantung sepenuhnya pada pendapatan di jalanan dan kuota 300 liter itu memang tidak cukup untuk operasi harian mereka,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Selain itu, isu perang harga serta beban kos operasi, dan keadaan infrastruktur serta keselamatan yang semakin membimbangkan dalam kalangan pekerja gig juga antara aduan yang diterima pada sesi berkenaan.
Kira-kira 200 pemandu e-hailing, penghantar p-hailing dan penggiat terapi tradisional hadir pada Penubuhan MyGiG Chapter Sabah yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dan Pengerusi MyGiG, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Fairuz berkata, semua isu itu telah dikemukakan secara terus kepada MyGiG sebelum pihaknya mengumumkan tiga pelan tindakan yang sedang dan akan diteruskan bagi memastikan nasib pekerja gig mendapat perhatian sewajarnya.
Tambahnya, Kementerian Pengangkutan (MOT) kini sedang melaksanakan Kajian Kadar Lantai (Floor Price) bagi menilai kadar tambang yang lebih adil untuk pekerja gig.
“Keputusan kajian ini dijangka pada Disember 2025 dan MyGiG akan memantau rapat dapatan tersebut kerana kita mahu kadar tambang yang adil, bukan yang menindas,” katanya.
Selain itu, MyGiG turut mendesak agar kerajaan mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGIM) sebagai badan berkecuali yang mempunyai kuasa undang-undang untuk mengawal selia platform serta membela pekerja gig.
“Kita tidak boleh lagi bergantung pada garis panduan semata-mata. Pekerja gig perlukan sebuah suruhanjaya yang benar-benar ada kuasa dan boleh bertindak,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan mewujudkan Pusat Data Nasional untuk mengumpulkan maklumat pekerja gig secara menyeluruh, terutamanya bagi mereka yang bekerja secara luar talian termasuk penggiat terapi tradisional.
Jelasnya, pendaftaran ahli yang dilakukan di Sabah amat penting bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan dengan tepat kepada kumpulan sasaran.
“Semua pelan tindakan itu akan diteruskan dengan tumpuan kepada keperluan sebenar pekerja gig di lapangan, selain memastikan suara akar umbi dibawa ke peringkat tertinggi bagi penyelesaian jangka panjang,” katanya.
Ringkasan AI
- Kuota Subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) tidak mencukupi untuk pekerja gig sepenuh masa
- Isu perang harga, beban kos operasi, dan keadaan infrastruktur serta keselamatan menjadi kebimbangan pekerja gig
- Kira-kira 200 pemandu e-hailing, penghantar p-hailing dan penggiat terapi tradisional hadir pada Penubuhan MyGiG Chapter Sabah
- Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan Kajian Kadar Lantai untuk menilai kadar tambang yang lebih adil untuk pekerja gig
- MyGiG mendesak penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia sebagai badan berkecuali untuk mengawal selia platform dan membela pekerja gig
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

