Wanita Malaysia redah banjir sejauh 6km beli makanan di Hatyai

SHAH ALAM - Seorang rakyat Malaysia dan rakan-rakannya yang terperangkap di Hatyai, Thailand terpaksa meredah banjir sejauh kira-kira enam kilometer (km) untuk mendapatkan bekalan makanan selepas tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak.
Menerusi perkongsian video di TikTok, @watie_yaacob berkata, keadaan memaksanya untuk keluar mencari makanan.
"Kami sudah berhubung dengan polis Thailand, kedutaan Malaysia (tapi) belum dapat apa-apa bantuan.
"(Kami) berjalan dalam banjir dalam (jarak sekitar) 6km pergi balik untuk (beli) makanan," tulisnya dalam video berkenaan pada Ahad.
Wanita tersebut turut berkongsi keadaan paras air di tempatnya menginap ketika banjir mula melanda pada Sabtu.
Video itu yang kini mendapat kira-kira 2 juta tontonan setakat jam 12.30 tengah hari, hari ini menunjukkan paras air di hadapan hotel semakin dalam.
"Kami cuba untuk minta bantuan dari kerajaan Malaysia di Thailand, harap-harap usaha kami berhasil untuk dapatkan sumber makanan di sini, air dah paras pinggang sekarang. Hujan berterusan tanpa henti.
"Doakan kami rakyat Malaysia yang ada di sini selamat," tulisnya dalam video yang dikongsi berkenaan.
Terdahulu, kerajaan dilapor menggerakkan usaha membawa pulang kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir di Hatyai serta beberapa daerah lain di wilayah Songkhla, Thailand.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, maklumat terkini sedang diperoleh dari Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi mengenal pasti rakyat negara ini yang masih terperangkap, termasuk guru dan 40 pelajar. Selasa lalu,
Pejabat Sumber Air Negara (ONWR) Thailand mengeluarkan amaran selatan Thailand bakal berdepan hujan lebat untuk enam hari dari 18 hingga 23 November.
ONWR bersama Jabatan Meteorologi Thailand dan Institut Hidro-Informatik Thailand meramalkan taburan hujan akan bertambah kuat kesan Monsun Timur Laut.
Ia meliputi Teluk Thailand di bahagian utara kawasan selatan negara itu dan diburukkan lagi tiupan angin timur yang bergerak merentasi kawasan berkenaan.
Ringkasan AI
- Seorang rakyat Malaysia terperangkap di Hatyai, Thailand dan terpaksa meredah banjir sejauh kira-kira enam kilometer untuk mendapatkan bekalan makanan
- Keadaan memaksa mereka keluar mencari makanan kerana tidak mendapat bantuan dari pihak berkuasa
- Berkongsi video di TikTok yang mendapat kira-kira 2 juta tontonan menunjukkan keadaan kebanjiran yang serius
- Mereka mencuba untuk mendapatkan bantuan dari kedutaan Malaysia di Thailand dan berharap usaha mereka berjaya
- Kerajaan Malaysia menggerakkan usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas oleh banjir di Hatyai, Thailand
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

