Lelaki hilang 45 tahun kembali ke pangkuan keluarga selepas ingatan pulih

Rikhi (kanan) bersama salah seorang ahli keluarga yang menymbut kepulangannya ke kampung halaman.
Rikhi (kanan) bersama salah seorang ahli keluarga yang menymbut kepulangannya ke kampung halaman.
A
A
A

SHIMLA – Seorang lelaki dari daerah Sirmaur, Himachal Pradesh yang hilang selama 45 tahun akhirnya kembali ke pangkuan keluarga selepas mengalami hentakan kepala baharu yang memulihkan ingatannya.

Kisah menyentuh hati itu bermula pada tahun 1980 apabila Rikhi yang ketika itu berusia 16 tahun hilang selepas mengalami kecederaan parah di kepala dalam satu kemalangan jalan raya semasa bekerja di sebuah hotel di Yamunanagar, Haryana.

Akibat hentakan kuat itu, dia mengalami hilang ingatan sepenuhnya sehingga tidak mengenali keluarga dan namanya sendiri.

Rakan-rakan kemudian memberinya nama baharu, Ravi Chaudhary.

Tanpa sebarang memori mengenai masa lalunya, Rikhi berhijrah ke Mumbai dan menyara hidup dengan melakukan pelbagai pekerjaan kecil sebelum akhirnya menetap di Nanded, Maharashtra setelah memperoleh pekerjaan di sebuah kolej.

Di sana, beliau berkahwin dengan Santoshi dan dikurniakan tiga orang anak.

Namun, beberapa bulan lalu, satu lagi insiden melibatkan kecederaan kepala telah mengubah hidupnya.

Selepas hentakan tersebut, gambaran samar tentang pokok mangga, lorong sempit dan halaman rumah di kampung asalnya, Nadi dekat Sataun, mula muncul dalam mimpinya.

Beliau akhirnya menyedari bahawa itu bukan mimpi, tetapi kenangan lama yang kembali.

Artikel Berkaitan:

Dengan bantuan seorang pelajar kolej, Rikhi mencari maklumat mengenai Nadi dan Sataun melalui Google.

Mereka menemui satu nombor telefon sebuah kafe dan menghubungi individu bernama Rudra Prakash.

Perkara itu kemudian sampai kepada seorang saudara Rikhi, MK Chaubey yang mengesahkan beberapa maklumat berkaitan identiti lama Rikhi.

Rentetan itu, beliau akhirnya disatukan semula dengan keluarganya di kampung Nadi.

Kepulangannya pada minggu lalu bersama isteri dan anak-anak disambut penuh emosi oleh ahli keluarga dan penduduk kampung.

Suasana hiba menyelubungi pertemuan semula itu apabila adik-beradik Rikhi menangis terharu melihatnya kembali selepas lebih empat dekad.

Beliau juga diberikan sambutan meriah dengan alunan muzik dan taburan bunga oleh penduduk kampung.

Menurut pakar kesihatan mental, Dr Aaditya Sharma kejadian pemulihan ingatan akibat kecederaan kedua sangat jarang berlaku.

“Walaupun tidak mustahil, kes seperti ini amat jarang didokumentasikan.

"Punca sebenar hanya dapat diketahui selepas pemeriksaan perubatan terperinci terhadap otak,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki dari Himachal Pradesh kembali kepada keluarganya setelah hilang ingatan selama 45 tahun akibat kecederaan kepala
  • Rikhi hilang pada usia 16 tahun setelah kemalangan dan hidup dengan nama baru, Ravi Chaudhary, di Mumbai dan Nanded
  • Kecederaan kepala kedua beberapa bulan lalu memulihkan ingatannya tentang kampung halaman di Nadi, dekat Sataun
  • Dengan bantuan Google dan seorang pelajar, Rikhi berhubung semula dengan keluarganya dan kembali ke kampung Nadi
  • Pemulihan ingatan akibat kecederaan kepala kedua adalah kejadian yang sangat jarang, menurut pakar kesihatan mental

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!