Suami Eda Ezrin, tiga rakan pulang ke pangkuan keluarga

KOTA BHARU - Suami kepada penyanyi wanita terkenal Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, serta tiga rakannya pulang ke pangkuan keluarga selepas lima jam memberi keterangan pada Jumaat.
Kesemua mereka, iaitu Mohd Affendi Ahmad, 35; Eridieka Mohd Noor, 33; Zuhaira Nasrin, 26; dan Mohamad Alif Deraman, 33, diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bermula jam 2 petang dan selesai jam 7 malam.
Kesemua mereka keluar dari pekarangan IPK pada jam 7.05 malam sebelum pulang ke kediaman masing-masing bersama keluarga.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa suami Eda Ezrin serta tiga rakannya dihantar pulang ke Kelantan pada Jumaat.
Kesemua mereka tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pada jam 11.15 pagi.
Mereka melalui proses yang sama seperti Eda Ezrin, iaitu dihantar oleh kakitangan Jabatan Imigresen Thailand dan diserahkan kepada Polis Kelantan.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan bahawa hanya Eda Ezrin dan rakannya, Nur Aida Mamat, 33, dibenarkan pulang ke Kelantan.
Bagaimanapun, suami Eda Ezrin, Mohd Affendi, serta tiga rakannya ketika itu masih berada di Depot Tahanan Imigresen Golok untuk urusan dokumentasi sebelum dibenarkan pulang.
Terdahulu, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan telah dibebaskan sepenuhnya daripada tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat pada Rabu.
Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam pada hari yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

