Budaya surat sokongan perlu dihentikan - Pemuda Gema

SHAH ALAM - Budaya penggunaan surat sokongan dalam urusan kerajaan perlu dihentikan segera dan dikawal ketat bagi mengelakkan salah guna kuasa.
Presiden Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (Gema), Mohd Hafizul Ilmi Shuhaimi berkata, jika kerajaan mahu membina budaya pentadbiran baharu, amalan surat sokongan ini tidak boleh lagi menjadi jalan pintas untuk mendapatkan projek atau layanan Istimewa.
Menurutnya, surat sokongan perlu dihadkan melalui garis panduan serta peraturan khusus yang menentukan apa bentuk sokongan yang dibenarkan dan apa yang tidak.
“Setiap surat sokongan daripada pegawai politik kepada mana-mana agensi kerajaan mesti direkodkan secara rasmi.
“Semua surat sokongan perlu dimasukkan dalam sistem yang boleh diaudit, dan idealnya dilaporkan secara berkala,” ujarnya.
Mohd Hafizul menegaskan wujud keperluan memisahkan peranan politik dan pentadbiran lebih jelas bagi mengelakkan campur tangan yang tidak wajar.
“Pegawai politik sepatutnya fokus kepada dasar, idea dan interaksi dengan rakyat, bukan menjadi saluran untuk melobi projek atau permohonan individu,” katanya.
Beliau menambah bahawa urusan pelantikan, kontrak dan kelulusan lesen mesti kekal di tangan sistem profesional dan perkara seperti pelantikan atau kontrak perlu dibuat secara telus dan kompetitif oleh pegawai profesional, bukan atas pengaruh mana-mana pihak.
Dalam pada itu, Mohd Hafizul turut menggesa supaya mekanisme aduan serta perlindungan pemberi maklumat diperkukuh untuk melindungi penjawat awam.
“Jika ada pegawai yang rasa tertekan akibat surat sokongan tertentu, mereka perlu ada saluran selamat untuk melaporkan tanpa bimbang dipukul balik,” kata beliau.
Jelasnya, mekanisme itu penting kerana ia menunjukkan kerajaan serius memastikan surat sokongan tidak berubah menjadi tekanan politik.
“Kita mahu pastikan ‘sokongan’ tidak bertukar menjadi arahan atau ugutan halus,” tambahnya.
Beliau turut menekankan pentingnya pendidikan integriti kepada semua pegawai politik, kerajaan mahupun pembangkang.
Ujarnya, anak muda kini mahu melihat bukti jelas bahawa reformasi bukan slogan semata-mata dan pembaharuan sistemik perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira parti mana yang memerintah.
“Ini bukan soal parti. Ini soal integriti negara dan semua pihak perlu berubah,” katanya.
Ringkasan AI
- Budaya penggunaan surat sokongan dalam urusan kerajaan perlu dihentikan untuk mengelakkan salah guna kuasa
- Surat sokongan harus dihadkan dengan garis panduan serta peraturan yang menentukan bentuk sokongan yang dibenarkan
- Semua surat sokongan perlu direkod dan dimasukkan dalam sistem yang boleh diaudit serta dilaporkan secara berkala
- Wujud keperluan memisahkan peranan politik dan pentadbiran untuk mengelakkan campur tangan tidak wajar dalam urusan pelantikan dan kontrak
- Mekanisme aduan dan perlindungan pemberi maklumat diperkukuh untuk melindungi penjawat awam dari tekanan akibat surat sokongan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

