Anwar sifatkan surat sokongan bukan arahan, tolak desakan pecat setiausaha politik

Anwar
Anwar
A
A
A

JOHANNESBURG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk memecat setiausaha politiknya yang didakwa terlibat mengeluarkan surat sokongan kepada kontraktor bagi membida projek pembinaan hospital tahun lalu.

Menurutnya, surat sokongan berkenaan tidak jelas dan kelulusan projek tidak dipengaruhi oleh surat tersebut kerana pihak berkuasa berkaitan maklum sepenuhnya mengenai prosedur operasi standard (SOP).

"Surat itu bukan arahan. Kamu dengar orang bercakap tentang rasuah ada satu dua kes, tetapi mereka langsung berdiam diri tentang berbilion ringgit yang dicuri apabila ia melibatkan rakan atau penyumbang mereka.

“Kalau mahu tegas melawan rasuah, bertindaklah terhadap rasuah. Bagi saya, itu lebih serius. Kita biarkan berbilion ringgit diseleweng tetapi tumpu kepada perkara kecil,” katanya ketika bertemu pihak media dalam perjalanan ke Johannesburg, Afrika Selatan seperti dilapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan lanjut berhubung dakwaan berkenaan.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Anwar mengakui telah menegur keras setiausaha politiknya kerana mengeluarkan surat sokongan kontraktor bagi sebuah projek hospital pada 2024.

Beliau menjelaskan demikian pada sidang Dewan Rakyat selepas Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengemukakan soalan tambahan mengenai penggunaan aset kerajaan ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, meskipun dakwaan mengaitkan setiausaha politiknya itu dianggap kes kecil, namun perkara tersebut tidak harus dibiarkan.

Malah, katanya ia tidak wajar mengatasi perhatian terhadap kes besar yang melibatkan individu berprofil tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya, ini lebih serius. Saya tidak ada simpati kepada mereka yang melarikan berbilion," katanya.

Sementara itu, menjawab gesaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli supaya beliau memecat setiausaha politiknya dan tidak sekadar menegurnya berhubung dakwaan surat sokongan tersebut, Anwar berkata, sebarang tindakan harus dibuat mengikut kewajaran situasi.

Beliau berkata, tiada keperluan bagi pihaknya untuk membuat laporan terhadap tindakan pegawainya yang telah diberikan teguran tempoh hari.

"Look at the gravity of the situation (lihat kewajaran situasi tersebut). Ini bukan salah laku, cuma apabila kita menyentuh soal pemberian surat sokongan, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dilakukan," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan tiada keperluan untuk memecat setiausaha politiknya berhubung isu surat sokongan kontraktor
  • Surat sokongan tersebut tidak mempengaruhi kelulusan projek kerana pihak berkuasa sudah mengetahui prosedur operasi standard
  • Anwar Ibrahim mengkritik tumpuan kepada kes kecil berbanding kes rasuah besar yang melibatkan berbilion ringgit
  • Beliau telah menegur setiausaha politiknya itu tetapi menganggap tindakan pemecatan tidak wajar berdasarkan situasi
  • Tindakan harus dibuat mengikut kewajaran situasi, bukan hanya berdasarkan prinsip atau peraturan kerajaan mengenai pengeluaran surat sokongan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!