65 keluarga di Pulau Redang terjejas, air pasang cecah 2.4 meter

KUALA NERUS - Seramai 276 mangsa daripada 65 keluarga di Kampung Baru Pulau Redang di sini terjejas selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat yang berlaku pada Sabtu.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku akibat fenomena air pasang besar mencecah paras 2.4 meter sejak malam Jumaat.
Keadaan itu diburukkan dengan hujan tanpa henti menyebabkan limpahan air laut memasuki kawasan perkampungan sehingga memaksa penduduk dipindahkan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Nerus mengesahkan kesemua mangsa kini ditempatkan di Masjid Pulau Redang, yang diaktifkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bermula jam 8 pagi pada Sabtu.
"Buat masa ini seramai 101 lelaki dewasa 103 (wanita), 20 (warga emas), 50 (kanak-kanak) dan masing-masing seorang perempuan orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak lelaki OKU ditempatkan di PPS.
"Keadaan cuaca ketika ini masih hujan dan berterusan," kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, seorang penduduk, Muhammad Arif Shafiee berkata, air laut mula melimpah dan memasuki kawasan rendah sekitar jam 11 malam.
"Air pasang besar semalam lebih kurang 2.4 meter, lebih tinggi dan luar biasa berbanding tahun-tahun sebelum ini. Ditambah pula hujan tak henti, memang air cepat naik.
"Biasanya air naik setakat kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Redang sahaja. Cuma tahun ini berbeza, air masuk ke beberapa rumah penduduk," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Menurut Muhammad Arif, walaupun ada beberapa rumah yang turut dimasuki air, keadaan masih terkawal dan penduduk tidak panik kerana ini merupakan fenomena biasa berlaku di kawasan itu.
"Ada juga beberapa rumah yang naik air, tapi setakat paras rendah sahaja. Kami terus ambil langkah berjaga-jaga dengan mengalihkan barangan penting ke tempat tinggi.
"Syukurlah, sejak awal pagi tadi, air sudah mula surut. Biasanya bila angin mula reda dan hujan berhenti, air akan turun cepat, tapi kami tetap berjaga-jaga kerana ramalan cuaca jangka hujan mungkin berterusan," tambahnya.
Ringkasan AI
- Banjir kilat di Kampung Baru Pulau Redang menyebabkan 276 mangsa dari 65 keluarga terjejas
- Banjir disebabkan oleh fenomena air pasang besar mencecah paras 2.4 meter
- Mangsa banjir kini ditempatkan di Masjid Pulau Redang sebagai pusat pemindahan sementara
- Seramai 101 lelaki dewasa, 103 wanita, 20 warga emas, 50 kanak-kanak dan dua OKU terlibat
- Cuaca masih hujan dan keadaan cuaca berterusan menyebabkan penduduk berjaga-jaga
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
