Dua lagi diberkas disyaki terlibat kes curi kabel di Taiping

Laporan Sinar Harian pada 15 November 2025.
Laporan Sinar Harian pada 15 November 2025.
A
A
A

TAIPING – Dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 34 tahun yang disyaki terlibat dalam kes curi kabel di persimpangan lampu isyarat Jalan Kamunting–Batu Kurau ditahan polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, tangkapan dibuat oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping susulan video kejadian itu yang tular di media sosial.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna hitam yang digunakan suspek ketika melakukan kegiatan tersebut.

“Hasil semakan, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamad Nasir berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan IPD Taiping dalam membanteras jenayah curi kabel yang sering meresahkan masyarakat.

Beliau turut menggesa penduduk Taiping supaya terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di daerah itu.

Pada 15 November lalu, media melaporkan tindakan pantas seorang remaja menyalurkan maklumat kepada polis membawa kepada penahanan empat lelaki yang disyaki terbabit dalam cubaan mencuri kabel di Jalan Kamunting–Batu Kurau, berhampiran Kolej Vokasional Taiping awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Kamunting sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah sebelum dimaklumkan oleh remaja berkenaan mengenai sekumpulan lelaki mencurigakan yang dilihat membuka penutup lubang kabel di tepi jalan.

Artikel Berkaitan:

Bertindak atas maklumat tersebut, polis berjaya menahan empat suspek yang sedang leka membuka penutup lubang kabel terbabit.

TAMAT

Ringkasan AI

  • Dua lelaki berusia 24 dan 34 tahun ditahan kerana curi kabel di Jalan Kamunting–Batu Kurau
  • Pasukan polis Taiping menangkap mereka susulan video kejadian tular di media sosial
  • Sebuah Mitsubishi Triton hitam digunakan suspek dirampas
  • Suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan
  • Polis menggesa komuniti Taiping untuk terus memberi maklumat bagi memerangi jenayah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!