Pak 'guard' Nepal berkelakuan jijik dengan kucing dipenjara

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang pengawal keselamatan warga Nepal yang sebelum ini disiasat berhubung kes meliwat kucing, dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan iaitu berpakaian separuh bogel dan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah.
Arman Shah, 33, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Wan Noora Nisa Ngadirin.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu dihukum penjara selama satu bulan kerana berpakaian tidak senonoh manakala tiga bulan bagi sabitan Akta Imigresen.
Wan Noora Nisa memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman secara berasingan.
Mengikut pertuduhan pertama, Arman didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dengan mengganggu kesantunan iaitu dengan cara berpakaian separuh bogel di hadapan seorang lelaki berusia 33 tahun, di tingkat empat sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, Seksyen 31 pada jam 12.30 tengah malam 15 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi kes memasuki negara tanpa dokumen sah di lokasi dan masa yang sama, dia yang masih bujang dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, dia tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman penjara yang minimum.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Ariz Zainal Alam mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, tertuduh turut mengaku bersalah di hadapan Hakim, Fatimah Zahari atas satu pertuduhan mendera seekor kucing dengan kejam di lokasi dan masa sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 8 Disember depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.
Pendakwaan dalam kes itu, dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin.
Ringkasan AI
- Seorang pengawal keselamatan warga Nepal dihukum penjara empat bulan atas pertuduhan berpakaian separuh bogel dan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah
- Arman Shah, 33, mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin
- Hukuman tersebut terdiri satu bulan penjara kerana berpakaian tidak senonoh dan tiga bulan bagi sabitan Akta Imigresen
- Tertuduh diarah menjalani kedua-dua hukuman secara berasingan
- Dia juga menghadapi pertuduhan mendera kucing dengan kejam, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

