[VIDEO] Laskar Kanan Maritim hadapi 10 pertuduhan rasuah
JOHOR BAHRU – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas 10 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM4,300 antara tahun 2022 dan 2023.
Tertuduh, Muhamad Azizi Kamali, 40, yang berpangkat Laskar Kanan Maritim T4, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Azizi yang bertugas di Langkawi, didakwa meminta dan menerima suapan antara RM200 hingga RM700 daripada Syarikat LGH Maju Trading melalui pindaan akaun orang tengah sebagai dorongan supaya pihak Maritim Malaysia Langkawi tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap kesalahan yang dilakukan oleh bot-bot milik sebuah syarikat.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah bank di Masai, pada 3 Februari 2022 lalu.
Oleh itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun yang sama (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Shuhadah Mahzan.
Pihak pendakwa kemudiannya mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin warga negara Malaysia.
Bagaimanapun, peguam Nur Shuhadah Mahzan memohon agar jumlah itu diringankan dengan mengambil kira keadaan keluarga tertuduh di mana isterinya tidak bekerja serta ketiga-tiga anaknya yang berusia lingkungan tujuh hingga 11 tahun yang masih bersekolah, serta keadaan ibu bapanya yang uzur.
Pembelaan turut memaklumkan bahawa salah seorang ahli keluarga dijangka menjalani biopsi, selain isterinya yang menghidap talasemia dan memerlukan rawatan.
Selain itu, peguam turut menyatakan pendapatan tertuduh sebagai anggota maritim sekitar RM3,700 sebulan, serta mempunyai alamat tetap di Kampung Bukit Lembu, Langkawi sebagai faktor yang menunjukkan tertuduh tidak berisiko melarikan diri.
Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 wang tunai dengan seorang penjamin warga negara. Malaysia selain turut membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk diberikan tempoh sebulan bagi serahan dokumen.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Disember 2025 sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen.
Ringkasan AI
- Seorang anggota Maritim dihadapkan ke mahkamah atas 10 pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM4,300
- Muhamad Azizi Kamali, 40, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan
- Rasuah itu didakwa sebagai dorongan supaya APMM Langkawi tidak bertindak atas kesalahan bot milik syarikat
- Peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan berdasarkan keadaan keluarga tertuduh
- Mahkamah setuju jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan kes 22 Disember 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
