Gaji RM600 masih ada lagi di Sabah – Mohd Yunus

Mohd Yunus
Mohd Yunus
A
A
A

SANDAKAN - Calon Perjuangan Rakyat (PR), Mohd Yunus Apil mendakwa isu gaji rendah masih membelenggu rakyat Sabah apabila terdapat majikan yang menawarkan gaji serendah RM600 sebulan, jauh di bawah kadar minimum yang telah diwarta­kan.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Papat itu berkata, tawaran gaji yang tidak berbaloi itu menyebabkan rakyat Sabah memilih untuk berhijrah bagi mencari pekerjaan.

“Sebelum ini sudah diwartakan gaji minimum RM1,700. Tetapi di Tanjong Papat, saya masih menerima keluhan rakyat yang diberikan gaji antara RM600 hingga RM1,000.

"Disebabkan itu, mereka terpaksa keluar dari kawasan ini untuk bekerja. Peluang pekerjaan juga sangat kurang. Keadaan ini sangat membimbangkan saya," katanya dalam sidang media sempena Majlis Penerangan Manifesto Calon Perjuangan Rakyat di Sandakan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Yunus berkata, mewujudkan peluang pekerjaan dengan kadar gaji yang mematuhi ketetapan minimum menjadi antara keutamaan dalam manifestonya.

Selain meningkatkan taraf ekonomi penduduk, beliau turut berhasrat menambah bilangan sekolah rendah serta memperkukuh sektor pelancongan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap diberikan mandat untuk memimpin DUN Tanjong Papat demi membawa perubahan kepada penduduk setempat.

Kerusi DUN tersebut menyaksikan saingan lapan penjuru membabitkan Mohd Yunus; Tang Szu Ching (Pakatan Harapan); Sohaimi Ramli (Parti Kebangsaan Sabah); Datuk Poon Ming Fung @ Frankie (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat); Jainudin Berahim (Parti Impian Sabah); Henley Liew (Parti Maju Sabah); Koa Wei Yang (Perikatan Nasional) dan Alex Thien Ching Qiang (Parti Warisan).

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Calon Perjuangan Rakyat, Mohd Yunus Apil, mendakwa terdapat majikan di Sabah menawarkan gaji serendah RM600 sebulan
  • Isu gaji rendah menyebabkan rakyat Sabah berhijrah mencari pekerjaan
  • Walaupun gaji minimum sudah diwartakan RM1,700, keluhan diterima gaji antara RM600 hingga RM1,000
  • Mohd Yunus bertekad mencipta pekerjaan dengan gaji yang mematuhi ketetapan minimum sebagai keutamaan dalam manifestonya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!