RGBC platform angkat martabat ekonomi pekebun kecil

BANDAR BARU BANGI - Program RISDA Groom Big Challenge (RGBC) 2025 terus membuktikan keupayaannya membantu memperkasa komuniti pekebun kecil apabila merekodkan peningkatan signifi kan dalam prestasi perniagaan peserta di seluruh negara.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib berkata, program yang berlangsung dari 17 hingga 20 November di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi, menjadi antara platform terpenting RISDA dalam melahirkan usahawan desa berdaya saing serta berupaya menembusi pasaran terbuka.
Menurutnya, inisiatif itu sejak awal lagi memainkan peranan besar memperkukuh kedudukan pekebun kecil sebagai pemangkin ekonomi desa apabila pendapatan usahawan bimbingan RISDA menunjukkan peningkatan ketara.
“Setakat Oktober 2025, peserta RGBC berjaya merekodkan jualan keseluruhan berjumlah RM169.18 juta, dengan purata pendapatan mencecah RM45,000 sebulan.
“Ini membuktikan keberkesanan program dalam mentransformasi perniagaan desa kepada lebih kompetitif, tersusun dan berimpak tinggi,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Program RISDA Groom Big Challenge 2025 di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Turut hadir Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifl i. Menurut Manndzri, seramai 94 usahawan dari seluruh negara menyertai RGBC 2025 dengan 27 peserta terbaik mara ke peringkat akhir.
Lebih membanggakan, ujarnya, 53 peratus daripada mereka ialah usahawan wanita, menunjukkan penglibatan aktif golongan itu dalam pembangunan ekonomi desa.
Beliau berkata, program tersebut memberi penekanan kepada pengurusan projek berasaskan enam komponen utama iaitu pengeluaran, pemasaran, akaun, kewangan, sumber manusia dan entiti perniagaan bagi memastikan usahawan mampu mengurus operasi perniagaan secara moden dan sistematik.
“RGBC yang diperkenalkan sejak 2016 ini menyasarkan peserta dengan jualan minimum RM150,000 setahun serta mempunyai potensi untuk diangkat ke tahap lebih tinggi. “Melalui bimbingan intensif merangkumi aspek pengeluaran hingga strategi pasaran, peserta diperkasa agar lebih berdaya saing termasuk bersedia menembusi pasaran eksport,” ujarnya.
Manndzri berkata, program itu merangkumi tiga peringkat utama iaitu pengurusan projek, sesi coaching and mentoring, serta penilaian akhir oleh pakar industri.
Peserta terbaik akan dipertimbangkan menerima bantuan sehingga RM50,000 berdasarkan prestasi dan penilaian panel juri.
Menurutnya, peserta cemerlang RGBC 2025 juga berpeluang menerima geran pembangunan pada 2026 merangkumi pembelian mesin dan peralatan, baik pulih premis serta komponen lain yang dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran, menambah nilai produk dan mengembangkan pasaran melalui platform seperti RisSmart.
“Dengan jumlah 17,346 usahawan bimbingan RISDA di seluruh negara, agensi itu kekal komited menjadikan komuniti pekebun kecil sebagai pemacu ekonomi desa,” ujarnya.
Manndzri berkata, RGBC membuktikan pelaburan strategik dalam pembangunan usahawan mampu memberi pulangan berganda kepada keluarga pekebun kecil, selaras Aspirasi Desa Madani dan usaha meningkatkan pendapatan masyarakat desa secara mampan.
Ringkasan AI
- Program RISDA Groom Big Challenge 2025 meningkatkan prestasi perniagaan pekebun kecil di Malaysia
- Inisiatif ini bertujuan mewujudkan usahawan desa yang berdaya saing dan mampu menembusi pasaran terbuka
- Sehingga Oktober 2025, peserta program mencatat jualan keseluruhan RM169.18 juta dengan purata pendapatan RM45,000 sebulan
- Program ini melibatkan 94 usahawan dari seluruh negara dengan 53 peratus merupakan usahawan wanita
- Peserta RGBC 2025 berpeluang menerima bantuan dan geran pembangunan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pasaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

