Keluarga terus 'sorok' Schumacher

RAKAN rapat Michael Schumacher, Richard Hopkins berpendapat bahawa peluang untuk melihat legenda Formula Satu (F1) itu kembali muncul di khalayak ramai adalah amat tipis, lebih sedekad selepas insiden kemalangan ski yang mengubah hidupnya pada tahun 2013.
Schumacher, juara dunia F1 tujuh kali, mengalami hentakan pada batu ketika bercuti bersama anaknya, Mick, di kawasan pergunungan Alps, Perancis, sebelum menjalani dua pembedahan akibat kecederaan otak traumatik.
Sejak beliau kembali sedar daripada koma pada tahun 2014, keluarganya mengekalkan tahap privasi yang ketat, manakala perkembangan mengenai keadaannya terus dirahsiakan.
Difahamkan, ikon Ferrari itu menerima rawatan berterusan di kediaman keluarganya dengan akses lawatan yang sangat terhad kepada beberapa individu tertentu termasuk Jean Todt, Ross Brawn dan Gerhard Berger.
Hopkins, yang pernah mengetuai operasi Red Bull, berkata beliau menghormati pendirian keluarga Schumacher untuk tidak berkongsi maklumat kepada umum.
“Saya tidak dengar sebarang perkembangan baharu. Saya tahu ada doktor peribadi dari Finland yang merawatnya.
“Saya rasa harapan untuk melihat Michael semula sangat tipis,” katanya.
Menurutnya, mana-mana individu yang dibenarkan melawat juga memilih untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat kerana memahami keutamaan keluarga dalam menjaga kerahsiaan.
Awal tahun ini, tiga lelaki telah disabitkan kerana cuba memeras ugut keluarga Schumacher dengan ancaman untuk menyebarkan imej serta rekod perubatan peribadi.
Keluarga Schumacher bagaimanapun melancarkan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas salah seorang defendan dengan alasan bahawa keputusan itu terlalu ringan.
Pada tahun 2024, keluarga Schumacher berjaya dalam tindakan undang-undang terhadap majalah selebriti Jerman, Die Aktuelle, yang menerbitkan satu 'temu bual' palsu bersama legenda F1 itu yang sebenarnya dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Ringkasan AI
- RAKAN rapat Michael Schumacher, Richard Hopkins berpendapat peluang untuk melihat legenda Formula Satu itu kembali muncul di khalayak ramai amat tipis
- Schumacher mengalami kemalangan ski yang menyebabkan kecederaan otak traumatik pada tahun 2013
- Sejak kembali sedar dari koma pada 2014, keluarganya mengekalkan tahap privasi yang ketat
- Michael Schumacher menerima rawatan berterusan di kediaman keluarganya dengan akses lawatan terhad
- Awal tahun ini, tiga lelaki disabitkan kerana cuba memeras ugut keluarga Schumacher
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

