China tangguh import hasil laut Jepun

BEIJING - China dilaporkan akan menangguhkan semula import hasil laut dari Jepun sebagai tindak balas kepada ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara, lapor media Jepun.
Penyiar NHK dan agensi Kyodo News menyatakan, larangan itu dikuatkuasa semula selepas Beijing sebelum ini telah mencabut sekatan terhadap produk laut Jepun awal bulan ini.
Menurut sumber Kyodo, penguatkuasaan larangan tersebut didorong tuntutan daripada Beijing bahawa lebih banyak pemantauan diperlukan terhadap pelepasan air dari loji nuklear Fukushima ke Laut Pasifik.
Langkah berkenaan timbul dalam susur konflik diplomatik yang semakin membara antara Jepun dan China berikutan kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi pada 7 November.
Takaichi menyebut bahawa serangan tentera China terhadap Taiwan yang dituntut Beijing sebagai miliknya mungkin mencetuskan tindak balas ketenteraan Jepun sekiranya keselamatan negara itu terancam.
Kenyataan beliau disambut dengan kecaman keras daripada pegawai dan media rasmi China.
Dalam perkembangan terbaharu, Tokyo turut memberi amaran kepada warganegara Jepun di China supaya lebih berhati-hati dan mengelak tempat sesak.
Dalam satu hantaran di platform X, Konsul Jeneral China di Osaka, Xue Jian dilaporkan mengugut untuk 'memutuskan leher kotor itu' dipercayai merujuk kepada Takaichi.
Tindak balas Tokyo ialah memanggil duta China bagi menjelaskan isu tersebut setelah hantaran itu dipadam.
Usaha rundingan diadakan apabila pegawai kanan Kementerian Luar Jepun, Masaaki Kanai mengadakan pertemuan dengan Liu Jinsong dari China di Beijing.
Namun, menurut jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, Beijing menguatkan bantahan rasmi terhadap kenyataan Takaichi yang didakwanya 'salah' dan menjejaskan asas hubungan politik antara kedua-dua negara.
Import hasil laut merupakan komponen penting dalam eksport Jepun dan China sebelum ini menyumbang lebih satu per lima daripada jumlah eksport tersebut.
Pertikaian antara Beijing dan Tokyo turut menjalar ke sektor budaya apabila media rasmi China mengumumkan penangguhan tayangan dua filem Jepun yang dijadualkan ditayangkan di China.
Ketegangan berkenaan dijangka memberi impak kepada hubungan perdagangan kedua-dua negara, dengan hasil laut menjadi senjata diplomatik dalam konflik yang semakin mendalam. - Agensi
Ringkasan AI
- China dilaporkan akan menangguhkan import hasil laut dari Jepun disebabkan ketegangan diplomatik
- Larangan import dihidupkan semula selepas Beijing meminta lebih pemantauan terhadap pelepasan air dari loji nuklear Fukushima
- Tindakan China timbul susulan kenyataan Perdana Menteri Jepun yang menyatakan kemungkinan tindak balas ketenteraan terhadap China
- Beijing menyatakan bantahan rasmi terhadap kenyataan Perdana Menteri Jepun, menyebabkan ketegangan dalam hubungan politik kedua negara
- Ketegangan antara kedua negara dijangka mempengaruhi hubungan perdagangan, dengan hasil laut sebagai fokus utama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

