Muzium serangga di Beijing perkenal kopi campuran serbuk lipas

Sebuah muzium serangga di Beijing menawarkan kopi ditaburi serbuk lipas kisar kepada pengunjung. Foto tular/Weibo
Sebuah muzium serangga di Beijing menawarkan kopi ditaburi serbuk lipas kisar kepada pengunjung. Foto tular/Weibo
A
A
A

CHINA – Sebuah muzium di Beijing menarik perhatian ramai selepas melancarkan minuman kopi baharu yang ditaburi serbuk lipas kisar di permukaan minuman tersebut.

Menurut laporan South China Morning Post, selain serbuk lipas, minuman berkafein itu turut dicampur ulat kuning yang telah dikeringkan, iaitu sejenis ulat yang biasanya menjadi makanan serangga.

Peminum yang mencuba minuman itu berkata, ia mempunyai rasa “hangus dan sedikit masam.”

Kopi lipas tersebut dijual di kedai kopi dalam sebuah muzium serangga di ibu negara China pada harga 45 yuan (RM26.60) secawan.

Nama muzium itu tidak dinyatakan dalam laporan berkenaan.

“Kami melancarkan kopi ini pada akhir Jun dan ia mula tular di internet baru-baru ini. Sebagai muzium bertemakan serangga, kami rasa minuman seperti ini sepadan dengan konsep kami,” kata seorang pekerja muzium itu.

Siri minuman baharu di muzium tersebut turut merangkumi minuman menggunakan jus pencernaan periuk kera serta satu edisi terhad yang diperbuat daripada semut yang ditawarkan khusus sempena Halloween.

Menurut pekerja itu, semua bahan dibeli dari kedai herba perubatan tradisional Cina (TCM), sekali gus meyakinkan pelanggan tentang keselamatan minuman tersebut.

Teori TCM turut mendakwa serbuk lipas mampu membantu melancarkan peredaran darah.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, walaupun minuman semut mempunyai rasa masam, minuman periuk kera pula 'rasanya seperti kopi biasa'.

“Kopi lipas ini kebanyakan diminum oleh golongan muda yang ingin mencuba sesuatu yang pelik. Ibu bapa yang membawa anak pula kurang berminat kerana mereka tidak suka lipas,” katanya.

Pekerja itu menambah, kedai berkenaan menjual lebih 10 cawan kopi lipas setiap hari.

Ringkasan AI

  • Muzium di Beijing melancarkan minuman kopi dengan serbuk lipas
  • Minuman itu juga mengandungi ulat kuning yang dikeringkan
  • Kopi lipas dijual pada harga 45 yuan secawan
  • Siri minuman baharu termasuk minuman dari jus pencernaan periuk kera dan edisi terhad daripada semut
  • Kopi lipas diminum oleh golongan muda yang ingin mencuba sesuatu yang pelik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!