Perkampungan Palestin diserang pelampau Yahudi

Rumah penduduk Palestin dibakar pelampau Yahudi.- Foto Agensi
Rumah penduduk Palestin dibakar pelampau Yahudi.- Foto Agensi
A
A
A

BAITULMAQDIS – Ketegangan di Tebing Barat kembali meningkat selepas kumpulan pelampau Yahudi menyerang beberapa kawasan penduduk Palestin pada Isnin, mencetuskan kebimbangan mengenai perluasan keganasan rentas komuniti serta tindakan balas yang semakin agresif.

Serangan terbaharu berlaku di Jaba, berhampiran Bethlehem, hanya beberapa jam selepas pasukan keselamatan Israel merobohkan pos penempatan haram Tzur Misgavi di blok penempatan Gush Etzion.

Puluhan penyerang dilaporkan memasuki kampung itu dan membakar sekurang-kurangnya tiga rumah serta tiga kenderaan milik penduduk Palestin.

Tentera Israel (IDF) memaklumkan pasukan mereka bersama Polis Sempadan dikerahkan ke lokasi dan operasi mengesan suspek masih berjalan.

Insiden di Jaba berlaku serentak dengan beberapa serangan lain yang dilaporkan di Hebron, Jerusalem Timur dan kawasan Badwi di selatan Baitulmaqdis, termasuk insiden penduduk Palestin diserang dengan batu serta tindakan membakar sebuah rumah dan dua kenderaan di Sa’ir.

Menurut laporan agensi berita rasmi Palestin, WAFA, kumpulan penyelamat dan bomba didakwa dihalang daripada memasuki kawasan kejadian.

Tindakan keganasan oleh pelampau Yahudi itu berlaku sehari selepas ratusan penduduk penempatan terbabit dalam pergelutan dengan anggota keselamatan Israel semasa operasi merobohkan Tzur Misgavi.

Kejadian itu mengakibatkan beberapa anggota cedera termasuk seorang terkena lontaran batu di kepala dan enam individu ditahan.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, tanpa menyebut secara khusus mangsa Palestin, mengecam kumpulan kecil ekstremis yang didakwanya mencemarkan nama Israel dan agama Yahudi serta menegaskan mereka tidak mewakili keseluruhan komuniti penempatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan sepenuhnya mengikut undang-undang dan menyatakan sokongan kepada IDF serta semua agensi keselamatan.

Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar, turut menyifatkan kumpulan berkenaan sebagai perosak yang merosakkan imej negara dan memberi kesan negatif kepada projek penempatan Israel.

Menteri Pertahanan, Israel Katz pula memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil undang-undang di tangan sendiri atau mengganggu operasi tentera.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) menuduh Israel memberi ruang kepada militia pelampau Yahudi untuk berkembang, serta menyeru campur tangan segera komuniti antarabangsa bagi mengekang peningkatan keganasan yang disifatkan sebagai ancaman tersusun terhadap kampung dan bandar Palestin.

Aktiviti keganasan penduduk penempatan meningkat mendadak sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, dengan lebih 700 insiden dilaporkan hanya sepanjang Oktober bertepatan musim menuai buah zaitun.

Dalam banyak kes, serangan turut menyasarkan sukarelawan Israel dan aktivis yang membantu petani Palestin.

Ketua Pembangkang, Yair Lapid menuntut tindakan tegas termasuk menyingkirkan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir yang menurutnya gagal mengawal peningkatan keganasan tersebut dan didakwa memberi mesej salah kepada pelampau.

Ketika IDF meneruskan operasi menjejaki suspek, ketegangan antara penduduk Palestin dan kumpulan pelampau Yahudi dijangka terus meningkat, memperlihatkan risiko keadaan di Tebing Barat kembali memasuki fasa lebih genting.- Agensi

Ringkasan AI

  • Ketegangan di Tebing Barat meningkat selepas serangan pelampau Yahudi ke atas penduduk Palestin
  • Puluhan penyerang Yahudi membakar rumah dan kenderaan di Jaba, berhampiran Bethlehem
  • Tentera Israel dan Polis Sempadan dikerahkan untuk mencari suspek serangan tersebut
  • Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam tindakan ekstremis yang mencemarkan nama Israel dan agama Yahudi
  • Pihak Berkuasa Palestin menuduh Israel membiarkan militia pelampau Yahudi berkembang dan menyeru campur tangan komuniti antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!