Harimau Malaya kekal sempurna, tenang hadapi kemelut luar padang

Cklamovski Foto: Bernama
Cklamovski Foto: Bernama
A
A
A

RENTETAN lima kemenangan bersih skuad bola sepak Harimau Malaya dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, diharap dapat meredakan seketika kemelut luar padang yang melanda arena bola sepak negara ketika ini.

Pengendali skuad negara, Peter Cklamovski berkata, kejayaan anak buahnya mengekalkan rekod tanpa kalah serta mengungguli carta kumpulan, merupakan sesuatu yang wajar diraikan penyokong-penyokong Harimau Malaya.

“Saya berbangga dengan mereka…komitmen yang telah mereka tunjukkan dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk memenangi perlawanan bola sepak antarabangsa. Kita telah lakukan semuanya tanpa kalah tahun ini.

“Saya rasa ia sesuatu yang boleh diperkatakan, ditulis dan kemungkinan membawakan senyuman kepada kanak-kanak. Dan semoga kanak-kanak mahu bermain untuk Harimau Malaya dan bermain seperti pemain-pemain kita,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Nepal.

Mengulas lanjut mengenai kemelut yang sedang melanda skuad kebangsaan, jurulatih dari Australia itu mengakui beliau turut terkesan, namun menegaskan fokusnya tetap terarah kepada tugasan sebagai ketua jurulatih.

“Ia sesuatu yang mengecewakan...ia di luar kawalan kita...kita tidak boleh lakukan apa-apa mengenainya. Jika saya fokuskan mengenainya, saya akan hilang fokus pada tugas saya dan saya tidak boleh lakukannya. Dan bagus jika rungutan atau situasi itu tidak di hadapan kami, tetapi itulah realitinya.

“Dan kini penting bagi kami untuk fokus terhadap apa yang kami perlu buat. Dan saya berharap rakyat berbangga dengan pemain-pemain dan bagaimana mereka bermain di dalam padang juga juga di luar. Itu apa yang boleh kita kawal,” katanya.

Kemenangan 1-0 ke atas Nepal semalam memastikan Malaysia mengekalkan rekod sempurna selepas lima perlawanan dan kekal di tangga teratas Kumpulan F dengan mengumpul 15 mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (sembilan mata), Laos ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

Pada Selasa, Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan alasan bertulis setebal 63 muka surat di sebalik keputusan mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berhubung isu pemalsuan dokumen.

Artikel Berkaitan:

FAM pada masa sama memaklumkan membuat keputusan untuk meneruskan proses rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) susulan laporan terbaharu FIFA itu. - Bernama

Ringkasan AI

  • RENTETAN lima kemenangan bersih skuad bola sepak Harimau Malaya dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027
  • Pengendali skuad negara, Peter Cklamovski, berbangga dengan rekod tanpa kalah serta keunggulan dalam carta kumpulan
  • Kemenangan itu diharap dapat meredakan kemelut luar padang yang melanda arena bola sepak negara
  • Fokus Cklamovski tetap pada tugasnya sebagai ketua jurulatih meskipun ada kemelut yang melanda skuad kebangsaan
  • Malaysia kekal di tangga teratas Kumpulan F dengan 15 mata selepas menang 1-0 ke atas Nepal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!